Dimensi BisnesPilihan Editor

Untung 15 Bulan Media Prima Sebanyak RM59.3 Juta

Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia melaporkan pendapatan sebanyak RM1.2 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM59.3 juta bagi tempoh 15 bulan berakhir pada 31 Mac 2023 di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang mencabar dan keadaan pasaran pengiklanan yang agak suram.

Hasil Media Prima bagi suku berakhir pada 31 Mac 2023 pula adalah sebanyak RM210.8 juta dan PAT adalah sebanyak RM5.4 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata persekitaran ekonomi global yang kian mencabar telah memberi kesan kepada prestasi keseluruhan Media Prima bagi tempoh yang dikaji, terutamanya di dalam segmen pengiklanan dan perdagangan.

Walau bagaimanapun, katanya kesan ini diimbangi oleh pendapatan bukan pengiklanan, dan inisiatif pengurusan kos berterusan serta pendapatan daripada operasi lain.

“Ini termasuk pengurusan kos secara optimum dan kebolehan bertindak balas kepada perubahan keadaan perniagaan. Kumpulan akan memberi fokus kepada pertumbuhan dalam pendapatan bukan pengiklanan seperti jualan kandungan dan platform membeli-belah di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid -NSTP/Asyraf Hamzah
Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid -NSTP/Asyraf Hamzah

 

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, menambah kumpulan menjangkakan tahun 2023 akan kekal mencabar di mana persaingan sengit untuk bahagian audien di platform media konvensional dan digital akan memberi kesan ke atas perbelanjaan pengiklanan.

Beliau berkata, tekanan inflasi, peningkatan kadar faedah, dan ketidaktentuan ekonomi juga akan turut memberi impak.

“Kami akan terus mempertahankan kedudukan kumpulan dengan menyediakan kandungan yang menarik untuk penonton di setiap platform media sambil menawarkan inventori pengiklanan premium untuk para pengiklan.

“Media Prima juga melihat peluang untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan penstriman video, tonton, yang kini berwajah baharu dan ditambah baik untuk memenuhi permintaan kandungan tempatan dalam kalangan pengguna.

Kumpulan akan terus mempertahankan kedudukan di setiap sektor perniagaannya.

Capaian digital Media Prima, diterajui oleh jenama di bawah REV Media Group dan The New Straits Times Press, kekal sebagai portal berita dalam talian yang paling banyak dibaca dalam rangkaian mudah alih di Malaysia.

Pada masa yang sama, perniagaan pengiklanan luar rumah (OOH) Media Prima, Big Tree, telah meningkatkan inventori OOH digitalnya di lokasi strategik dengan penambahan dua skrin digital baharu di Sunway dan di Lebuhraya KL-Seremban.

Dalam segmen penyiaran pula, Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai rangkaian televisyen paling banyak ditonton, diterajui oleh TV3 yang merangkumi lebih 26 peratus penonton televisyen di Malaysia (bagi tempoh tiga bulan dikaji), peningkatan daripada 20 peratus yang dicatatkan dalam tempoh perbandingan sama tahun lalu.

8TV mencapai 54 peratus daripada segmen penonton berbangsa Cina (berumur empat tahun ke atas), peningkatan daripada 37 peratus dalam tempoh perbandingan.

Jumlah capaian penonton TV9 juga meningkat kepada lebih empat peratus daripada dua peratus pada suku perbandingan tahun lalu.

Bagi segment radio pula, Hot FM dan Fly FM, di bawah kendalian Media Prima Audio, mencatatkan peningkatan kedudukan dalam kalangan pendengar radio.

Media Prima komited untuk memajukan pelan perniagaan strategik tiga tahunan, yang berpaksi pada tiga tonggak utama iaitu memperhebatkan kandungan, meningkatkan kualiti inventori, dan meneroka peluang pendapatan baharu.

Kumpulan berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran teknologi, cerapan data berharga, dan tenaga kerja berbakat untuk memperoleh kelebihan daya saing, menarik pelanggan dan projek yang berprestij, serta memupuk kepelbagaian pendapatan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close