MalaysiaPilihan Editor

Hantar Baju, Kuih Raya Antara Alasan Rentas Daerah, Negeri

Polis mengesan pengguna jalan raya menggunakan pelbagai alasan tidak munasabah seperti menghantar baju dan kuih raya untuk membolehkan mereka merentas daerah dan negeri tanpa surat kebenaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak mengenakan kompaun sebaliknya mengarahkan individu terlibat untuk berpatah balik.

Beliau berkata, bagi pemandu yang ingkar, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi.

“Kami sudah mulakan (sekatan jalan raya) dari semalam (9 Mei) dan mendapati setakat ini masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

“Antara alasan mereka seperti hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di KM34 Lebuhraya Persekutuan malam tadi.

Beliau berkata, bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja, pihaknya akan membuka laluan tambahan namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama keluar masuk ibu negara terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis dalam SJR.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close