Pilihan EditorTurun Naik

Wanita Hebat Penuh Inspirasi

Oleh: Jessica Ong Hai Liaw dan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh

 

Semangat perjuangan wanita mendepani pelbagai cabaran sejak dahulu lagi telah diterjemahkan oleh pelbagai rumpun bangsa di dunia.

Peribahasa “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia” antara manifestasi betapa wanita adalah satu daripada entiti peradaban yang penting.

Begitu juga kata-kata bahawa kejayaan lelaki dapat dilihat dari dua perkara iaitu siapa ibunya dan siapa isterinya, juga merakamkan peri pentingnya seorang wanita.

Contoh-contoh ini memperlihatkan kepentingan peranan wanita dalam melahirkan warganegara atau seseorang individu yang mempunyai karisma dan beramanah apabila tiba masa dan ketikanya kelak.

Wanita-wanita hebat dalam sejarah peradaban Melayu

Jika diteliti dari sudut sejarah dan budaya, nama-nama seperti Puteri Adruja (Kelantan), Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Tun Fatimah (Melaka), Dang Anum (Johor) dan Puteri Limau Purut (Perak), antara sosok wanita zaman sejarah yang amat dekat dalam hati kita.

Wanita juga menjadi elemen penting dalam melahirkan masyarakat yang progresif dan pintar dan hal ini terserlah daripada sejarah perkahwinan campur antara ras bangsa di dunia dengan pembesar dan masyarakat Melayu.

Antaranya perkahwinan Puteri Hang Li Po dan Sultan Mansor Syah yang direkodkan melalui manuskrip Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, sebuah karya agung yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia serta sudah mempunyai 32 salinan di seluruh dunia ini cukup membuktikan rakaman tentang sosok Hang Li Po ini terbentang luas untuk ditelitikan dengan lebih mendalam.

Paling penting yang dapat difahami ialah bahawa perkahwinan juga menjadi misi diplomatik kerajaan Melaka ketika itu.

Sejarah Melaka turut mencatat kisah serikandi wanita seperti Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah yang walaupun dipelangikan dengan kisah cinta mereka, namun semangat memperjuangkan keadilan lebih besar maknanya yang harus kita fahami.

Demikian sejarah yang telah membina peradaban kita, menelusuri semangat kita memahami dimensi wanita hebat menjelmakan inspirasi.

Sehingga kini, walaupun masih ada antara kitab yang masih kabur tentang sejarah, sekurang-kurangnya apabila disebut nama serikandi ini, generasi wanita kita memahami sejarah yang pernah terjadi di sebaliknya.

Wanita sebagai ikon ibu pertiwi

Menyorot sejarah Johor Moden, yang menyaksikan perkahwinan antara kerabat diraja Johor dan wanita Turki telah melahirkan negarawan unggul sehingga akhirnya Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar itu kenali sebagai pengasas negara bangsa yang cukup terkenal kerana ketokohannya dalam arena kemerdekaan sejarah negara.

Ibunya seorang wanita berketurunan Turki yang bernama Rugayah Hanim, mempunyai galur sejarah yang cukup menarik apabila menghubungkan wanita dan hubungannya dengan keperkasaan budaya dan ilmu pengetahuan.

Begitu juga nama-nama tokoh wanita era kemerdekaan seperti Ibu Zain, Ibu Azizah, Khadijah Sidek, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani dan ramai lagi adalah sosok wanita yang menjadi ikon ibu pertiwi, kerana daripada asuhan minda dan tangan merekalah, kemerdekaan yang kita nikmati ini, terus dapat kita kecapi sehingga kini.

Dalam era kini, golongan wanita amat diperlukan dan menjadi inspirasi dalam pembangunan negara.

Tidak kira bangsa dan latar belakang, wanita kini memacu pelbagai kepintaran dan kepakaran dalam banyak bidang yang menghubungkan sumbangan wanita dalam pembangunan karakter mental masyarakat.

Daripada pengamatan sejarah yang kita bawakan di atas tadi, jelaslah wanita yang bangkit serta mempunyai turus mental yang kuat, mampu melonjakkan dirinya mengharungi pelbagai cabaran.

Wanita dibangunkan dengan hikmah yang luar biasa dalam mengimbangi kerjaya serta tanggungjawabnya sebagai pasangan dan juga ibu kepada permata hati mereka.

Merekalah insan istimewa dengan kredibiliti, keyakinan dan inovasi.

Penglibatan serta sumbangan kaum wanita ke arah memperkasakan diri mereka dalam konteks kemajuan sosio-ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa membantu kerajaan membangunkan negara.

Inspirasi wanita seiring peredaran zaman

Dasar Wanita Negara yang digubal pada 1989 mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan akan datang.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai ketidakaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari.

Dasar ini dilengkapi dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencapai objektif dan matlamat Dasar Wanita Negara. PTPW mengandungi strategi yang meliputi 13 sektor iaitu ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap wanita, kesihatan, pendidikan dan latihan, sains dan teknologi, pembuat keputusan, mekanisme, jentera dan institut pembangunan wanita, media, alam sekitar, sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan.

Menitip titah saranan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan ”Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence’ bertajuk Pemerkasaan Wanita Dalam Sektor Kesukanan” yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama YTF dan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM :

“Kaum wanita diharap akan terus bangkit untuk saling melengkapi kaum lelaki dengan sama-sama berusaha memartabatkan negeri dan negara agar kekal teguh dan perkasa di mata dunia”.

Langkah dan gaya pemimpin wanita di pentas dengan penuh yakin menggalas tanggungjawab dan amanat yang diberi.

Kami yakin pemerkasaan wanita dalam bidang masing-masing amat penting dalam mempromosikan idea baharu dan inovatif, melaksanakan inisiatif yang memberi impak dan mewujudkan jaringan di peringkat tinggi.

Pemerkasaan Wanita dalam bidang seperti adanya rujukan badan profesional seperti Women in Logistics and Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia merupakan organisasi global terkemuka bertauliah boleh menjadi inspirasi menarik minat golongan wanita untuk terlibat dalam bidang-bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan khususnya dalam musim Pandemik COVID-19.

Masyarakat Malaysia amat berpegang teguh dengan kekayaan budaya dan tradisi.

Kebiasaannya, pengamalan dalam sebuah budaya akan dipertahankan melalui mengehadkan beberapa kebebasan.

Hal ini termasuk bagaimana masyarakat tradisional melihat peranan dan keupayaan wanita dalam komuniti.

Kami melihat kekuatan dalaman, psikologi, mental intelektual dan fizikal juga bagi membantu mengetengahkan mesej.

Kepentingan empati dan budaya yang diwarisi generasi ke generasi sehingga membentuk stigma untuk Wanita menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan progresif.

 

Wanita itu hebat
Jika masih terukir senyuman di pagi hari
Seakan-akan tidak menangis di malam hari
Wanita itu penuh inspirasi
Sentiasa bersyukur dalam kekuatan dan kelemahan
Terus bangkit mendepani apa jua cabaran

— BERNAMA

 

  • Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw merupakan Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Felo Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara

 

  • Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh merupakan Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close