Pelakon dan usahawan Neelofa menyeru orang ramai menyokong perniagaan yang diusahakan oleh peniaga kecil tempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) agar ekonomi golongan itu tidak terjejas.
Neelofa, nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 31, berkata orang ramai boleh membantu dengan membeli dan membantu mempromosikan produk buatan tempatan.
“Jom kita sokong sesama kita. Berbelanja dengan peniaga kecil, bantu promosi.
“Utamakan produk tempatan,” catatnya di Twitter.
Pemilik Naelofar Hijab itu juga berharap agar PKPB kali ini tidak terlalu memberi kesan kepada peniaga kecil seperti PKP pada Mac lalu.
“Mendoakan dan berharap agar PKPB kali ini tidak terlalu memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil secara khususnya dan rakyat secara amnya,” tambahnya.
Kerajaan semalam mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor dan Wilayah Persekutuan bermula tengah malam ini hingga 27 Oktober.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di daerah Klang, Petaling dan Gombak.
Turut dilaksanakan PKPB di Sabah berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 26 Oktober.
Tidak seperti PKP sebelumnya, kali ini semua kegiatan ekonomi diberi kelonggaran dengan dibenarkan beroperasi mengikut syarat waktu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – MALAY MAIL