Dimensi BisnesMalaysiaPilihan Editor

BACALAH AUTO: Volvo V60 T8 – Alam Nusantara, Sejuk Nyaman Lagi Mendamaikan Berpisah Tiada

Pandu Uji Volvo V60 T8 Ke Cameron Highlands

Oleh wartawan Bacalah Auto

Bukan wagon-wagon biasa ! Wagon yang super-power ok !

Praktikal, efisien, kuasa enjin dan kemantapan adalah ciri-ciri yang ada ! Semuanya ini kalau diterangkumkan ia mencipta keunggulan.

Sebagai membuktikan ciri-ciri unggul itu, wartawan Bacalah Auto berpeluang memandu uji Volvo V60 T8 berkelas wagon.

Jemu dengan cuaca panas, kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk kehidupan kota raya, Bacalah Auto membawa diri bersama Volvo berimejkan Wagon ini ke Cameron Highlands, destinasi damai lagi nyaman yang menyejukkan, menyegarkan dan mengasyikkan dengan pemandangan indah dan udara yang bersih.

Angin sepoi-sepoi yang dingin cukup terasa di awal perjalanan menaiki puncak melalui laluan berliku yang tidak pernah padam iaitu Jalan Persekutuan Tapah-Ringlet-Tanah Rata-Brinchang.

Ngauman enjin yang dipacu enjin turbo berkembar 2.0 liter langsung tidak kedengaran seolah-olah menghormati alam sekeliling. Hanya meluncur tanpa ragu-ragu membuatkan Bacalah Auto kagum dengan prestasi kelas Wagon ini.

Memang kelas gitu !

Kuasa 407 PS pada kadar 5,700 rpm dan 640 Nm tork pada kadar 1,200 ke 5,400 menceritakan segala-gala keunggulan Volvo Wagon ini.

Tidak dirasai langsung kelecehan pemanduan kerana Volvo Wagon ini menampilkan stereng elektrik sporty yang tidak lepas digengam.

Apatah lagi keasyikkan pemanduan ruang bumbung yang memanjang boleh diakses untuk bukaan panoramanya sambil mencipta perasaan tenang dan kelegaan menikmati alam kehijauan diselang seli panahan matahari yang dingin di celah-celah pepohon rimbunan pokok yang meninggi.

Singgah sebentar di Air Terjun Lata Iskandar, lokasi wajib yang dituruti menambahkan lagi kesegaran ciri-ciri Volvo Wagon yang menginginkan keselesaan membawa keluarga.

Ikonik bahagian depan rekaan gril Volvo yang memaparkan sepasang LED seakan simbol tukul Thor menarik perhatian mata yang sekelilingnya di kawasan air terjun itu.

Tak ramai yang perasan sebenarnya air terjun Lata Iskandar ini berada di dalam daerah Batang Padang, Perak. Air Terjun Lata Iskandar yang terbit dari pergunungan Banjaran Titiwangsa merupakan salah sebuah kawasan rekreasi air terjun yang menarik dengan alam semulajadinya yang mengagumkan dan mudah untuk dikunjungi.

Berada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perak Daerah Batang Padang, air terjun ini terletak di pertengahan jalan dari Tapah ke Cameron Highland iaitu 15 km dari Pekan Tapah melalui jalan raya Tapah serta 85 km dari bandaraya Ipoh.

Terus langsung pemanduan Volvo Wagon melayan liku-liku pagi yang segar sambil membunyikan hon beberapa kali setiap kali di selekoh tajam. Bukan apanya, demi keselamatan kekadang muncul juga lori yang deras menuruni bukit.

Teringat berada di negaraTimur Tengah dan India, perkataan yang tertera di depan dan belakang kenderaan bas atau lori –  “PLEASE HORN ME” atau “HORN ME”, nak tergelak pun ada tetapi itu budaya pemanduan mereka sebagai ingatan pemandu yang lain.

Cuma di Malaysia ini, ada tempat-tempat yang perlu kalau tidak NAHAS !

Usah bimbang Volvo Wagon ini seperti volvo yang lain sentiasa fokus dan dilengkapi Intellisafe termasuk sistem “radar” pengesan pejalan kaki, penunggang basikal atau motosikal mahu pun haiwan yang kadang-kala meliar melintasi laluan dan sebagainya.

Apapun Bacalah Auto menyempatkan diri untuk singgah rumah binaan pesara tentera British, Colonel Stanley “The Lakehouse “ yang dibina selama  empat tahun bermula 1966.

Begitu klasik sekali binanya dan hanya ada19 bilik sahaja. Mempunyai kelas tersendiri.

Begitu juga Volvo Wagon yang mempunyai kelas tersendiri ini, berlapikkan kulit hitam tempat duduknya sambil dihiburkan sistem audio skrin sentuh bersaiz 9.7 inci membuatkan halwa telinga menjiwai lagu-lagu yang dimainkan. Mana tidaknya, sistem audio bunyi yang sangat berkualiti berjenama “Harman Kardon” menceritakan segala-galanya.

Tidak molek kalau Bacalah Auto tidak menguji kecekapan Volvo Wagon ini menelusuri liku-liku Jalan Persekutuan Ringlet-Tanah Rata-Brinchang pula.

Sudah tentu pemanduan mod sporty ditekan lalu menerjah kaki ke pedal tanpa rasa disedari pun henjutan kenderaan itu. Wah, lengguk kereta Volvo Wagon begitu kemas dari aspek stabiliti sehinggakan pemandangan Ladang teh “The Bharat” hanya mampu dijeling seketika.

Keunggulan roda berukuran 19 inci serta tayar berprofil rendah sangat dijiwai tika pemanduan itu apatah lagi jenama Michelin Pilot Sports (235/40/R19) tidak punya masalah diredahnya. Lebih-lebih lagi muatan belakang kargo Volvo Wagonnya berkapisiti 529 liter dan 1,441 liter apabila tempat duduk belakang dilipat jika penuh pun tidak ada masalah diangkutnya sama ada perjalanan jauh atau dekat.

Super power tak ? Sudah tentu menerusi sistem pengecas turbo dan supercharger Volvo V60 T8 ini adalah kenderaan yang diidam-idamkan peminat Volvo selain kelas Sedan dan SUV Volvo.

Bacalah Auto sangat rekomen kan !

Sangat berpuas hati walaupun hati ini terasa risau juga betapa panjang kenderaan ini tetapi itulah kelas Wagon.

Ramai yang menjeling manja sebaik Volvo Wagon ini melalui pekan Tanah Rata ke taman rekreasiTanah Pertabalan Tanah Rata dan kemudiannya singgah ke Pasar Kea Farm di Brinchang.

Kawasan ini begitu nostalgia buat Bacalah Auto kerana kedinginan suhu mencecah 21 Celcius apatah lagi waktu lewat petang dan malamnya mencecah sehingga 17 atau 18 Celcius. Memang sejuk ala-ala negara Eropah.

Istimewa Volvo V60 T8 ini ialah mempamerkan versi hibrid untuk beroperasi (tenaga elektrik dan petrol) sebagai tambahan tarikan “trending” masa kini apatah lagi di pasaran Malaysia ini yang sangat praktikal dan efisien.

Yang penting Volvo Wagon ini tidak pernah mengecewakan langsung sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Terbaik dan sentiasa mencipta keunggulan baharu, itulah Volvo V60 T8. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close