MalaysiaPilihan Editor

400 Pakaian Batik Malaysia Dibawa Ke Perbarisan Hari Kebangsaan 2023

Sebanyak 400 helai pakaian batik Malaysia bertemakan semangat kemerdekaan bakal mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Isnaniyah Ismail berkata baju kemeja lelaki dan wanita itu bakal dipakai oleh barisan Jemaah Menteri, tetamu kehormat serta urus setia sambutan Hari Kebangsaan 2023 nanti.

“Kami menyediakan batik Malaysia alternatif daripada bahan tanah liat dengan menggunakan teknik sutera saring bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya bagi kemeja yang dipakai barisan Jemaah Menteri dan tetamu kehormat.

“Bagi urus setia pula, mereka akan memakai pakaian batik Malaysia menggunakan teknik sutera saring bermotifkan gabungan bunga cengkih, bunga tanjung dan awan cina,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya ia bertujuan menarik minat orang ramai khususnya penjawat awam menggunakan batik Malaysia bukan sahaja pada setiap Khamis, tetapi turut digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain serta semasa acara rasmi selari dengan surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 21 Ogos 2023.

“Adalah menjadi harapan kami, agar semua masyarakat dapat membudayakan batik Malaysia dengan menonjolkan semangat patriotik terhadap khazanah negara itu,” katanya.

Bagi menzahirkan semangat patriotisme, Isnaniyah berkata Kraftangan Malaysia tidak ketinggalan mengibar Jalur Gemilang di semua premisnya sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

“Kami juga akan mengadakan beberapa program bersempena Hari Kebangsaan antaranya Festival Kraf Perak di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada 25 Ogos hingga 3 September; Festival Kraf Borneo di pusat beli-belah 1 Borneo Kota Kinabalu, Sabah (24 Ogos hingga 10 September), Promosi Merdeka di Kompleks Kraf Johor dan Angsana Johor Bahru, Johor (25 Ogos hingga 3 September) serta Promosi Merdeka di Aeon Mall Melaka (29 Ogos hingga 9 September).

“Kepada pelawat yang berkunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur, mereka juga boleh mendapatkan diskaun jualan produk kraf sehingga 50 peratus sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close