GovernansPilihan Editor

85 Peratus Pelaburan Diluluskan Dapat Direalisasikan – Tengku Zafrul

Berdasarkan statistik, 85 peratus pelaburan diluluskan akan direalisasikan dan ia merangkumi pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI), demikian tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau juga menekankan, pelaburan yang sudah diluluskan itu lazimnya akan ambil masa satu hingga tiga tahun untuk direalisasikan.

Menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya semalam, Tengku Zafrul memberi penjelasan bagi mengelak kekeliruan yang ditimbulkan oleh berapa pihak, khususnya berkaitan ‘net FDI inflow’ atau aliran masuk bersih FDI, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan negara mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022 iaitu jumlah yang tertinggi dalam sejarah.

“Okey, sebenarnya kedua-dua perkara ini ‘sama tapi tak serupa’ macam kita nak bandingkan pisang dengan durian. Kedua-duanya adalah buah tapi ciri-cirinya berbeza.

“Memang betul tak semua pelaburan diluluskan akan direalisasikan. Tapi kalau kita tengok statistik, 85 peratus pelaburan diluluskan akan direalisasikan. Jadi kalau pelaburan diluluskan itu lebih tinggi. Maknanya, kebarangkalian untuk lebih banyak pelaburan direalisasikan juga lebih tinggi,” katanya.

“Pelaburan domestik juga penting, contohnya daripada RM329.5 bilion pelaburan yang diluluskan tahun lalu, hampir separuh iaitu sebanyak 43 peratus adalah pelaburan domestik.

“Pelaburan domestik yang diluluskan sebenarnya naik 35 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan keyakinan pelabur tempatan kepada ekonomi negara,” katanya.

Tengku Zafrul juga menjelaskan, terdapat perbezaan kaedah dalam pengiraan ‘net FDI inflow’ oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) iaitu membabitkan pelaburan jangka pendek dalam pasaran saham.

“Dalam mengukur transaksi kewangan, maksudnya pergerakan masuk dan keluar duit termasuk yang berkait dengan pasaran modal. Bila syarikat asing hantar duit ke luar negara seperti keuntungan atau belanja untuk bayaran balik pinjaman, maka duit itu dikira sebagai duit keluar, jumlah masuk ditolak jumlah keluar. Inilah ‘net FDI’.

Definisi FDI oleh DOSM dan pelaburan di bawah MIDA juga berbeza, contohnya bila syarikat asing beli saham 10 peratus atau lebih daripada nilai syarikat, transaksi itu dianggap sebagai FDI oleh DOSM. Ini bermakna transaksi besar di pasaran saham dan pasaran bon (pelaburan jangka pendek) juga dianggap FDI oleh DOSM.

“Jadi kalau syarikat itu jual saham dan bawa balik untung ke negara asal, maka transaksi itu dah jadi negatif atau ditolak daripada FDI. Tapi untuk MIDA semasa mereka kira pelaburan, mereka ambil kira ‘capital expenditure’ atau perbelanjaan modal, seperti buat kilang, beli tanah, beli peralatan besar iaitu perbelanjaan untuk jangka panjang.

Jadi pelaburan yang diluluskan tahun ini akan ambil masa satu hingga tiga tahun untuk direalisasikan. Mereka (MIDA) juga tak ambil kira transaksi saham yang mungkin jadi pelaburan jangka pendek tapi dikira dalam ‘net FDI’ oleh DOSM. Contohnya syarikat beli saham minggu ini, mungkin minggu depan dia jual balik,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close