GovernansMalaysiaPilihan Editor

Anwar Jelaskan Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Setuju Desakan CUEPACS

Penjawat awam diminta bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum isu membabitkan mereka, meliputi kos sara hidup, dapat ditangani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ketika ini berdepan hutang mencecah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus.

Justeru buat masa ini, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan tidak boleh bersetuju dengan desakan CUEPACS, termasuk berhubung kenaikan gaji penjawat awam kerana ia akan meningkatkan defisit negara.

“CUEPACS minta kaji semula gaji (penjawat awam) supaya ditambah. Saya setuju pada prinsipnya tetapi saya terangkan mengenai pendekatan yang dilakukan sebelumnya.

“Jadi, sabarlah sekejap,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah yang Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani, di sini, hari ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ketika mengulas mengenai Belanjawan 2023 dalam satu kenyataan, berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan bagaimanapun masih cuba berkongsi sedikit hasil negara dengan penjawat awam melalui Belanjawan 2023.

Namun, beliau menekankan, tumpuan kerajaan bawah pentadbirannya ialah menyelamatkan golongan miskin tegar yang berdepan kesusahan untuk meneruskan hidup, berbanding pekerja dalam sektor awam.

“Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja yang ada?

“Saya hendak beritahu, ia tidak mudah. Pesawah padi, pekebun kecil getah… ini semua orang susah… nelayan dan kemiskinan tegar. Bagi saya, mereka nak hidup pun susah. Kita sekurang-kurangnya hidup susah, dia nak hidup pun susah,” katanya.

Melalui Belanjawan 2023, kerajaan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, manakala RM350 akan disalurkan kepada pesara kerajaan dengan bayaran dibuat pada April 2023. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close