Pilihan EditorTwo Cents

Ringgit Tak Wajar Ditambat, Ini Penjelasan BNM

Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Mahanum Abdul Aziz

Tambatan ringgit mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar serta ia bukan langkah yang terbaik untuk ekonomi Malaysia.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan, kadar pertukaran yang fleksibel lebih wajar dikekalkan bagi membolehkan ekonomi negara membuat penyesuaian terhadap sebarang kejutan luaran dengan lebih baik.

Kadar pertukaran mata wang yang fleksibel, katanya memudahkan penetapan dasar monetari, iaitu pengurusan kadar faedah.

Justeru, beliau berkata, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari yang mata wangnya menjadi asas ringgit ditambat.

“Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menentukan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun ekonomi kita belum pulih ke tahap yang sama seperti dialami di AS.

Gabenor bank pusat itu turut mengakui bahawa faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan rejim kadar pertukaran tetap pada 1998 ialah kawalan modal yang diperkenalkan pada masa itu.

Namun, tegasnya langkah kawalan modal sekiranya diperkenalkan akan mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi negara menerusi penurunan keyakinan pelabur.

“Langkah menambat ringgit akan memberikan kesan yang negatif terhadap sentimen pelabur. Ini akan menjejaskan pelaburan portfolio serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

“Dasar untuk mengekalkan tambatan ringgit juga memerlukan kos yang tinggi kerana langkah ini akan menggunakan sejumlah besar rizab negara, terutamanya dalam keadaan pasaran yang tertekan. Hal ini akan melemahkan daya tahan luaran kita,” katanya.

Selain risiko yang timbul daripada tambatan ringgit, Nor Shamsiah berkata, asas ekonomi Malaysia kini juga jauh lebih kukuh berbanding semasa Krisis Kewangan Asia (AFC) pada 1997-1998.

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui pertumbuhan ekonomi yang stabil, institusi kewangan yang lebih teguh dan pasaran kewangan domestik yang mendalam, malah Malaysia kini mempunyai kedudukan pemiutang luar bersih serta tahap rizab antarabangsa yang mencukupi.

Oleh itu, katanya, meskipun BNM tidak menetapkan sebarang sasaran pada kadar pertukaran, dasarnya bertujuan memastikan keadaan pasaran ringgit teratur.

“Hal ini membolehkan pergerakan ringgit berlaras dengan cekap mengikut penawaran dan permintaan ringgit dalam pasaran. BNM sentiasa bersedia untuk menggunakan instrumen sedia ada bagi memastikan pergerakan dalam kadar pertukaran kekal teratur.

“Instrumen dasar ini termasuk langkah memastikan mudah tunai mencukupi dalam sistem perbankan dan menggunakan intervensi pertukaran asing apabila pasaran ringgit tidak teratur atau tidak berfungsi,” katanya.

 

Ringgit ketika ini berada pada paras kira-kira RM4.45 berbanding dolar AS
Ringgit ketika ini berada pada paras kira-kira RM4.45 berbanding dolar AS

 

BNM katanya, turut melaksanakan langkah kehematan berkaitan dengan pasaran pertukaran asing untuk melindungi ringgit daripada sebarang peningkatan risiko berlebihan oleh bank dan syarikat korporat dalam negara yang boleh menggugat ekonomi semasa tempoh kejutan luaran.

“BNM ingin menekankan bahawa pengeksport dan pengeluar perlu bersaing berdasarkan kualiti produk yang baik serta produktiviti yang tinggi, bukan berdasarkan faktor nilai ringgit.

“Keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh modal insan negara dan meningkatkan nilai ditambah pada barangan dan perkhidmatan kita, bukannya sekadar memberikan tumpuan pada dasar ringgit yang khusus.

“Semua langkah ini akan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik yang seterusnya meningkatkan pendapatan benar serta taraf hidup isi rumah dan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan tambatan mata wang yang dilaksanakan semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997-1998 dalam menangani ketidaktentuan ketara nilai ringgit dalam pasaran pertukaran asing.

Dr Mahathir berkata, ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 menjadikan perkara itu wajar dipertimbangkan untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.

Malaysia melaksanakan tambatan ringgit RM3.80 berbanding dolar AS pada 1 September 1998 dan kemudian memansuhkannya pada Julai 2005.

Ringgit ketika ini berada pada paras kira-kira RM4.45 berbanding dolar AS. Paras terendah ringgit adalah RM4.71 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada Januari 1998 yang mana negara serantau ketika itu amat terkesan dengan aliran modal keluar besar-besaran oleh pelabur asing. – BH ONLINE

  • Penulis ialah wartawan ekonomi BH.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close