MalaysiaPilihan Editor

Logo Hari Kebangsaan 2020, Lambang Kesepaduan Rakyat Hadapi Covid-19

Malaysia Prihatin yang dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Gabungan perkataan ‘Malaysia’ dan ‘Prihatin’ menggambarkan seluruh rakyat di negara ini turut sama memerangi wabak itu serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Untuk sambutan kali ini, logo berbentuk hati menjadi pilihan dengan warna-warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Tujuh jalur merah putih yang membentuk hati, membawa maksud terjalinnya keberanian dan ketersediaan dalam menghadapi segala rintangan dengan keikhlasan dan kesungguhan.

Sementara warna biru tua pula memberi erti kesatuan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni.

Stigma bunga raya yang digabungkan bersama logo berbentuk hati itu pula menzahirkan bahawa negara menuju kejayaan, manakala lima titik merah adalah simbolik kepada lima kelopak bunga raya menggambarkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi kunci perpaduan di negara ini.

Bulan sabit dan bintang pecah 14 pula menggambarkan Islam sebagai agama Persekutuan dan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Logo dan tema Hari Kebangsaan itu diperkenalkan dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ini merupakan kali kelima logo berbentuk hati digunakan selepas 1994, 1997, 2015 dan 2016. —  BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close