Dimensi Bisnes

Industri Kredit Bukan Bank Bakal Dirombak, Era Baharu Di Bawah Satu Bumbung

Perkhidmatan lebih 5,000 pemegang pajak gadai dan syarikat kredit komuniti di seluruh negara bakal melalui satu rombakan penting apabila Akta Kredit Pengguna baharu menyatukan keseluruhan industri kredit bukan bank di bawah satu bumbung pengawal seliaan tunggal.

Ia akan membolehkan perlindungan yang menyeluruh serta layanan lebih adil kepada semua pengguna kredit terutama pengguna kredit yang rentan dan terdedah kepada risiko eksploitasi di negara ini.

Menurut perangkaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sehingga 30 April 2025, terdapat 4,364 pemegang lesen pemberi pinjaman wang di negara ini.

Sementara itu, sehingga 31 Julai tahun ini, bilangan pemegang pajak gadai di negara ini sebanyak 937.

Menurut Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata keadaan yang berpecah-pecah telah mewujudkan tahap perlindungan pengguna yang tidak sekata dan sering kali mengelirukan, di mana peraturan bagi satu sektor mungkin berbeza dengan sektor yang lain.

Bagi menangani kelemahan itu, katanya, badan berkanun baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk bertindak sebagai pengawal selia pusat.

Walau bagaimanapun, katanya, peralihan kuasa itu akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ia berjalan dengan teratur dan tidak merencatkan industri.

Menurutnya, fasa pertama, yang dijangka bermula selepas akta dikuatkuasakan, akan menyaksikan SKP memulakan tugasnya dengan mengawal selia entiti yang sebelum ini tidak mempunyai badan pemantau khusus, seperti penyedia perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL).

Dalam fasa yang sama, jelasnya, kementerian sedia ada seperti KPKT dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diberi kuasa untuk menggunakan peruntukan dalam Akta Kredit Pengguna yang baharu bagi mempertingkatkan tahap perlindungan dalam sektor di bawah jagaan mereka, justeru menjadi satu langkah interim untuk menaik taraf standard industri kredit bukan bank dalam negara.

“KPKT dalam fasa satu sudah berhasrat mengadakan satu rangka kerja untuk pengawal seliaan bagi Ar-Rahnu dan pinjaman wang patuh syariah.

“KPDN juga akan membuat pindaan kepada Akta Sewa Beli. Ini menunjukkan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ sedang berhasil,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama BH baru-baru ini.

Seterusnya, Abu Hassan berkata, rombakan penting akan berlaku dalam fasa kedua, yang dirancang untuk bermula pada 2028.

Beliau berkata, pada fasa itu, SKP akan mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawal seliaan ke atas pemberi pinjam wang dan pemegang pajak gadai daripada KPKT dan begitu juga pentadbiran Akta Sewa Beli akan dipindahkan daripada KPDN kepada SKP.

Menurutnya, ia bermakna semua aspek pengawal seliaan yang berkaitan dengan pelakuan dan amalan pinjaman bertanggungjawab bagi industri kredit bukan bank akan berpusat di bawah satu entiti tunggal.

“Hasilnya adalah, bila fasa kedua nanti, semua aspek pengawal seliaan dari segi pelakuan dan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab itu akan berada di bawah satu bumbung,” kata Abu Hassan, sambil menjelaskan bahawa ini adalah matlamat utama untuk menangani isu fragmentasi.

Langkah penyatuan itu juga berkemungkinan besar akan menyaksikan akta-akta lama seperti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 disemak dan kandungannya ditambah baik menurut prinsip-prinsip di bawah kerangka Akta Kredit Pengguna.

Menurut Abu Hassan, secara keseluruhannya, rombakan besar-besaran itu bertujuan untuk mewujudkan satu landskap industri kredit bukan bank yang lebih profesional, telus dan standard.

Katanya, ia bukan saja akan memberikan perlindungan yang lebih seragam dan menyeluruh kepada pengguna, tetapi juga dijangka akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sektor kredit bukan bank sebagai satu sumber pembiayaan yang sah dan selamat. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close