Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara.
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, parti berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada minggu hadapan.
Katanya, nama parti berkenaan diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ramai orang tanya mana parti Gerakan RESET. Hari ini saya nak maklumkan parti ini diberi nama oleh Presiden PAS iaitu Parti Wawasan Negara.
“Parti kami baru dilahirkan dan tidak dijaga oleh ayahanda (Tan Sri Abdu Hadi Awang). Kami mahu bersama dengan PAS, GERAKAN dan rakan-rakan.
“Insya-Allah kita akan bersama-sama bekerjasama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda masa depan rakyat dan negara,” katanya berucap pada Konvensyen RESET yang dirasmikan Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
Minggu lalu, Hamzah dilaporkan akan mengumumkan parti baharu hari ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dilaporkan berkata parti baharu itu nanti akan menjadi anggota kepada sebuah gabungan parti-parti politik supaya lebih kuat.
Tegas beliau, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU kini mengetuai ‘RESET’ sebagai satu gerakan untuk melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu dan untuk merealisasikannya, ia perlu kepada sebuah parti politik. – BH ONLINE




