Tidak semua individu perlu melanjutkan pengajian ke universiti kerana sebahagian besar pekerjaan dalam ekonomi moden lebih memerlukan kemahiran khusus berbanding kelayakan akademik semata-mata.
Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata hanya sekitar 20 hingga 25 peratus daripada keseluruhan pekerjaan dalam sesebuah ekonomi memerlukan kelayakan ijazah, manakala selebihnya boleh diisi melalui latihan kemahiran dan pengalaman kerja.
Beliau berkata, fenomena itu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dapat dilihat di negara maju seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
“Kerja yang memerlukan ijazah sebenarnya sekitar 20 hingga 25 peratus sahaja daripada pekerjaan dalam ekonomi sesebuah negara. Apabila seseorang mempunyai ijazah, mereka perlu bersaing dengan graduan lain untuk merebut peluang pekerjaan yang terhad dalam kategori itu,” katanya dalam petikan audio siar ML Studios.
Menurutnya, perkembangan itu menjelaskan mengapa perbahasan mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Skill atau kemahiran boleh memberikan peluang pendapatan yang baik tanpa perlu menanggung kos pengajian universiti yang tinggi.
“Bukan semua individu sesuai mengikuti laluan akademik di universiti, kemahiran memberi lebih banyak fleksibiliti untuk seseorang menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa memiliki ijazah sahaja tidak lagi mencukupi kerana ramai graduan mendapati tugasan sebenar di tempat kerja berbeza daripada apa yang dipelajari semasa pengajian.
Sehubungan itu, katanya, institusi pendidikan tinggi berdepan cabaran untuk memastikan program yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri dan perubahan struktur ekonomi.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berdepan dengan isu ini, iaitu bagaimana mahu mengoptimumkan sektor pendidikan tinggi, bukan saja dalam sektor awam, malah sektor swasta.
“Kita mempunyai banyak institusi pendidikan tinggi, ia menjadi seperti satu perniagaan kerana kita banyak menerima pelajar dari luar negara,” katanya.
Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikuti TVET di 1,395 institusi TVET di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Sasaran itu diletakkan kerana tahun lalu rekod menunjukkan kira-kira 587,000 pelajar memasuki institusi TVET.
Angka ini jauh meningkat berbanding permulaan penubuhan Majlis TVET negara yang hanya mencatat sekitar 121,000 pelajar, sekali gus menunjukkan peningkatan lebih lima kali ganda.
Dalam pada itu, Nurhisham menasihatkan golongan muda yang bercita-cita menjadi usahawan supaya mendapatkan pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan sendiri.
“Berniaga juga satu kemahiran yang perlu dipelajari. Pengalaman bekerja membolehkan seseorang memahami operasi perniagaan, membina rangkaian serta memperoleh pengetahuan praktikal sebelum mengambil risiko menjadi usahawan,” katanya. – BH ONLINE




