Dimensi Bisnes

BACALAH AUTO: Jualan Kereta Elektrik Di Malaysia Dijangka Bertambah Tahun Ini

Jualan kenderaan elektrik (EV) dijangka melonjak tahun ini susulan pengecualian duti import dan eksais bagi EV import sepenuhnya (CBU) yang mungkin tidak dilanjutkan selepas akhir 2025.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata walaupun begitu, pasaran EV tempatan masih kecil, justeru lonjakan jualan EV tahun ini dijangka tidak akan memberikan kesan ketara kepada prestasi jumlah keseluruhan industri (TIV).

“Jualan EV menaik kepada 14,700 unit pada tahun 2024 atau 45 peratus tahun ke tahun, yang merangkumi sekitar 1.8 peratus daripada seluruh TIV.

“Mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendaftaran kereta EV termasuk bukan ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melonjak naik 63 peratus tahun ke tahun kepada 21,800 unit pada tahun 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau menambah, dengan anggaran catatan TIV bagi 2025 tidak berubah pada angka 730,000 unit, ramalan TIV akan semakin berkurangan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun sebaik saja kesan asas tinggi bermula.

“Sime Darby dan Bermaz Auto kekal sebagai saham utama, khususnya Bermaz Auto yang menawarkan nilai menarik dan kadar hasil dividen tinggi.

“Sime Darby pula berkedudukan baik untuk menghadapi pewajaran RON95 melalui barisan EV yang luas, manakala pegangan saham dalam PERODUA juga akan memberikan perlindungan perolehan persaingan dalam kalangan pengeluar kereta bukan nasional yang semakin rancak,” katanya.

Beliau berkata, pada Disember 2024, MAA merekodkan TIV berjumlah 81,700 unit yang menaikkan jumlah TIV 2024 kepada paras 816,747 unit, peningkatan dua peratus tahun ke tahun yang sekali gus mengatasi pencapaian rekod sebelum ini berjumlah 800,000 unit pada 2023.

Katanya, kenaikan bulan ke bulan pada Disember 2024 disaksikan merentasi syarikat pengeluar kereta utama yang diterajui oleh Toyota (53 peratus), diikuti oleh Honda (39 peratus), PROTON (16 peratus) dan PERODUA (satu peratus).

“PERODUA berjaya menghantar 358,102 unit pada 2024 dan ini merupakan tahun ketiga ia mencatat jualan pecah rekod secara berturut-turut, dengan kenaikan 8.4 peratus daripada catatan 330,000 unit semasa 2023.

“PROTON sebaliknya mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.2 peratus dalam jumlah jualan menerusi penghantaran kereta berjumlan 147,587 unit pada 2024.

“Namun begitu, dua pengeluar kereta nasional ini (PROTON dan PERODUA) terus memegang bahagian pasaran terbesar untuk TIV Malaysia, iaitu sebanyak 62 peratus,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close