IKEA Malaysia hari ini mengesahkan semua restoran, kafe dan bistro yang beroperasi di negara ini telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus memperkukuh keyakinan pelanggan Muslim untuk menjamu selera di tempat berkenaan.
Menurut IKEA, walaupun amalan halal teelah lama dipraktikkan syarikat itu sejak hampir tiga dekad lalu, pensijilan rasmi ini menandakan komitmen lebih kukuh terhadap piawaian halal serta keselamatan makanan.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, berkata pensijilan itu adalah penghormatan kepada kepercayaan, budaya dan tuntutan agama masyarakat tempatan.
“Halal bagi kami bukan sekadar pematuhan, tetapi soal kepercayaan dan penghormatan. Dengan kerjasama JAKIM, kami memastikan kawalan penuh terhadap perolehan bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia IKEA Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, pencapaian ini diperoleh selepas pemeriksaan ketat oleh JAKIM, termasuk menilai sumber bahan mentah, proses penyediaan makanan dan tahap kemahiran pekerja.
Menurutnya, IKEA juga telah melantik duta halal di setiap cawangan bagi memastikan proses latihan pekerja berjalan berterusan, selain mendidik vendor termasuk pembekal bukan makanan mengenai maksud pematuhan halal di premis syarikat itu.
“Dari sudut bahan mentah, makanan kami sememangnya halal sejak awal lagi. Cuma bangunan dan operasi dalaman belum disahkan.
“Jadi, perubahan terbesar adalah mendidik pekerja serta memastikan setiap ruang operasi memenuhi piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau menambah, kejayaan IKEA Malaysia ini turut menjadi contoh kepada rangkaian IKEA di seluruh dunia mengenai kepentingan halal, khususnya untuk pasaran Asia dan Asia Barat.
Dengan empat cawangan utama iaitu Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan, IKEA Malaysia yakin pengiktirafan halal ini akan memperkukuh ikatan dengan rakyat Malaysia yang menjadikan hidangan mereka sebahagian daripada gaya hidup seharian. – BH ONLINE




