Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Penurunan Harga RON95 Kepada RM1.99 Seliter Dapat Bendung Tekanan Inflasi – Penganalisis

Penurunan harga di pam bagi RON95 kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter bermula 30 September ini dijangka mengurangkan tekanan inflasi di negara ini, demikian menurut penganalisis.

Pelarasan harga bahan api itu dilihat mampu melegakan beban perbelanjaan isi rumah dan pengangkutan, memandangkan RON95 membawa 5.5 peratus pemberat dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP), alat yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi Malaysia.

BIMB Securities Research berkata, pihaknya membuat semakan semula unjuran inflasi bagi keseluruhan 2025 yang lebih rendah kepada 1.5 peratus berbanding 2.0 peratus sebelum ini.

Ia berkata, semakan semula itu dibuat selepas mengambil kira tekanan kos yang rendah, penangguhan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api secara bersasar dan pengurangan harga pam RON95.

“Melangkah ke hadapan, inflasi berkemungkinan kekal sederhana menjelang awal separuh kedua 2025 sebelum meningkat secara beransur-ansur apabila kesan kelewatan tarif global semakin meningkat, dengan tekanan yang lebih ketara dijangka menjelang akhir 2025 atau ke 2026.

“Dinamik domestik sepatutnya membantu mengurangkan seretan luaran,” katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Kerajaan MADANI memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter di bawah inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi melindungi kesejahteraan rakyat.

Kementerian Kewangan memaklumkan, dengan memansuhkan subsidi pukal, kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.

Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pelaksanaan BUDI95 adalah bagi semua rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sementara bagi bukan warga negara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.

Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.

Dalam pada itu, BIMB Securities Research melihat tekanan dari segi permintaan mungkin meningkat berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai, dengan kos pinjaman yang lebih rendah dijangka merangsang perbelanjaan isi rumah.

Katanya, ia akan disokong oleh pasaran buruh yang sihat, langkah fiskal terkini dan kelewatan dalam pelarasan subsidi.

“Walaupun begitu, dengan tekanan harga keseluruhan yang berkemungkinan kekal terurus, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini, mencapai keseimbangan antara menyokong pertumbuhan dan mengekalkan kestabilan harga,” katanya.

Kadar inflasi Malaysia yang diukur melalui IHP meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025.

Sebanyak 59.7 peratus item atau 342 daripada 573 merekodkan kenaikan harga bulan lalu.

Namun begitu, daripada jumlah berkenaan, 332 item (97.1 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Ogos 2025. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close