Malaysia

Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik Panglima Angkatan Tentera baharu

Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik Panglima Angkatan Tentera (PAT), berkuat kuasa mulai esok.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, berkata pelantikan beliau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, dan seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Malek memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.

“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi. Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.

“Di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close