MalaysiaPilihan Editor

MELAKA MEMILIH: 112 Calon Bertanding, Pertandingan Enam Penjuru Di Tiga DUN

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula hari ini menyaksikan     seramai 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara Persekutuan di sini, selepas proses penamaan calon tamat, hari ini.

Beliau berkata sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

DUN yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.

Manakala tiga penjuru pula di DUN di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.

PRN berkenaan juga menurut Abdul Ghani menarik penyertaan seramai 112 calon mewakili parti-parti politik yang bertanding, serta individu perseorangan.

Katanya daripada jumlah berkenaan, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

Terdahulu, proses penamaan calon yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke pusat penamaan.

 

 

Kesemua 28 pusat penamaan calon bagi PRN Melaka ditutup 10 pagi ini.

Mengulas mengenai proses penamaan calon Abdul Ghani berkata ia berjalan lancar, dan kesemua calon yang menyerahkan borang pencalonan hari ini mengikuti prosedur yang ditetapkan.

Beliau juga berkata tiada calon yang bergejala atau menjadi kontak rapat kepada individu COVID-19, dan kesemua mereka berjaya menyerahkan borang penamaan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Kesemua calon kita sihat hari ini, perjalanan (proses pencalonan) juga lancar,” katanya.

Mengenai peratusan calon mengikut jantina, Abdul Ghani berkata seramai 96 orang calon lelaki manakala baki 16 wanita bertanding kali ini.

Bagi pecahan mengikut usia, beliau berkata seramai sembilan calon muda berusia 21 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.

“21 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 35 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 36 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun, manakala 11 calon berusia 60 tahun ke atas dengan calon tertua berusia 68 tahun dan calon termuda pula berusia 21 tahun,” katanya.

Dalam sidang media sama, Abdul Ghani juga mengumumkan tempoh rasmi berkempen telah pun bermula dan akan berakhir pada 11.59 malam, 19 Nov. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close