Pilihan EditorTwo Cents

RAHSIA SEMPOA JOHARI ABDUL GHANI BAKAL BERI LIMPAHAN BERGANDA AGRIKOMODITI NEGARA – PENGANALISIS

8 agrikomoditi terutama emas merah terus diperkasakan untuk negara dan pasaran global

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

RAMAI terkejut dan ramai juga tidak menyangka bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi yang terdahulunya begitu cemerlang sepanjang tempoh setahun di bawah Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ramai pemerhati ekonomi, orang korporat dan kewangan serta orang politik sendiri pun begitu menaruh harapan pada pengalaman dan kepimpinan pengurusan korporat dan kewangan yang menyakinkan daripada Ahli Parlimen Titiwangsa apatah lagi perbahasan beliau di Dewan Rakyat sentiasa menterjemahkan realiti kepada umum.

Kepetahan berbahas meletakkan data dan angka unjuran pertumbuhan ekonomi, mencernakan formula dan solusi, malahan berhujah dalam mempertahankan pendapat walaupun sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan acapkali begitu tegas dan kritis kepada Kerajaan Perpaduan, namun sangat diperakui barisan Menteri Kabinet waima pembangkang sekalipun.

Bila cerita-cerita rombakan Kabinet timbul, ramai pemerhati yang meramalkan Johari sebaik-baiknya harus dilantik dan menerajui dalam Kementerian Kewangan mahu pun Kementerian Ekonomi atau Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta setidak-tidaknya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Apa tidaknya, pemulihan kesejahteraan ekonomi negara perlu disegerakan, kos sara hidup rakyat hendaklah disantuni dan ditangani secara bijak serta pelaburan asing dan domestik sentiasa dituntut untuk direalisasikan bagi mewujudkan pekerjaan, pendapatan negara yang baharu serta mencipta pembangunan wilayah lebih setara.

Tidak terkecuali portfolio Wilayah Persekutuan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri selari dengan kawasan Parlimennya sendiri, Titiwangsa berada dalam segi tiga emas bandar raya Kuala Lumpur yang sangat dekat di hati beliau.

Namun semua jangkaan itu meleset pada minggu lalu. Terus dititik-noktahkan.

Tetapi anekdot yang tampak seolah-olah dititik-noktahkan tidak berlaku, kerana tingkap jendela itu telah diubah sama sekali. Persoalan yang besar adalah apakah bentuk bingkai masa kini dan masa depan yang sebenarnya dicaturkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan Johari di Kementerian Perladangan dan Komoditi ?

Apa yang sebenarnya hendak diselamatkan, diperkasakan, dipulihkan dan diinovasikan secara berani dan di luar kotak ?

Johari dikenali ramai sebagai seorang teknokrat atas pengalaman luas dan kejayaan memulih dan menyelamatkan banyak syarikat besar di negara ini.  Sudah tentu, jari jemari beliau akan pantas mencongak mesin sempoa yang bingkas menjanjikan limpahan berganda lapan agrikomoditi utama negara. 

Kata-kata awal Johari yang menyifatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi  mencabar dan melibatkan pemikiran di luar kotak serta mahu bertemu dengan lebih kerap pemain-pemain industri bagi memahami isu yang dihadapi, dasar yang boleh memberi perkembangan lebih pantas serta memudahcarakan, dilihat sebagai satu komitmen yang meletakkan harapan baharu bagi sektor agrikomoditi.

Kalau ditinjau-tinjau komoditi negara seperti sawit yang turut dikenali sebagai emas merah, di samping sektor getah, kayu kayan, kenaf, lada dan koko serta biojisim dan biobahan api, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa bagi tempoh Januari hingga September 2023, sektor agrikomoditi mencatatkan nilai eksport sebanyak RM117 bilion berbanding RM160.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Malaysia pula kini merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia di belakang Indonesia, akan memberi cabaran kuat kepada bekas Menteri Kewangan II dalam memperkasakan pengurusan agronomi, pengetahuan penyelidikan dan pembangunan serta pemprosesan hiliran emas merah untuk lebih maju dan terbaik.

Melihat pada 2022, sektor ini mencatat kekurangan 63,000 pekerja asing yang menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang dianggarkan mencecah RM20 bilion, tetapi hasil kerja cemerlang Fadillah yang telah menyelesaikan kira-kira 80 peratus masalah kekurangan tenaga kerja di ladang sawit hanya perlu disambung terus oleh Menteri baharu, tetapi pemerhati industri menjangkakan inovasi Johari akan mengintai kepakaran anak tempatan serta penggalakan mekanisasi dan automasi yang lebih cekap dan berdaya hebat.

Sudah tentu antara cabaran terbesar Johari memastikan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) terus berada pada landasan yang dinamik dan lestari walaupun bagi tempoh Januari hingga September 2023 lalu agak susut sedikit iaitu 13.28 juta tan, turun 0.5 peratus berbanding 13.34 juta tan bagi tempoh sama tahun 2022.

Harga MSM juga turun 27.1 peratus kepada RM3,835.50 satu tan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 berbanding RM5,264.50 satu tan bagi tempoh sama 2022 dengan harga dagangan tertinggi dan terendah masing-masing pada RM4,217.50 satu tan pada April dan RM3,640.00 satu tan pada Oktober.

Tidak terkecuali Malaysia pernah menjadi pengeluar utama getah, kini berada pada kedudukan kelompok 10 pengeluar getah asli terbesar dunia di belakang Thailand, Vietnam, Indonesia, China, India dan Ivory Coast.

Malaysia juga adalah negara pengisar koko utama kelima dunia dan terbesar dalam kalangan negara Asa-Ocenia serta pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan kapasiti 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia, telah merekodkan eksport lada bernilai RM96 juta setakat Ogos 2023.

Perabot Malaysia dalam industri kayu kayan telah menembusi pasaran 160 negara dunia. Nilai eksport kayu dan produk kayu negara dijangka mencapai RM28 bilion menjelang 2025 dan RM32.8 bilion pada 2030.

Agrikomoditi sebenar-benarnya fundamental ekonomi hasil bumi negara yang sekian lama penyumbang terbesar pendapatan negara, penyumbang besar sosio-ekonomi rakyat, penyumbang besar pekerjaan untuk rakyat serta penyumbang besar kepada tulang belakang ekonomi negara.

Inilah sebenarnya sebab musabab bekas Menteri Kewangan II diletakkan untuk mengurus agrikomoditi bagi melonjak deras gandaan produktiviti, dititik-noktahkan budaya produktiviti stagnant, di samping fokus lebih besar adalah kehendak kelestarian terutama soal ketersediaan pelaburan (ESG), menambah keyakinan amalan perdagangan dunia dan kebijakan berbicara pada peringkat antarabangsa dan sudah tentu melaksanakan pendekatan kitaran ekonomi yang berasas.

Ringkasnya, pemerhati industi meramalkan Johari berkehendakkan agrikomoditi ini akan terus memacu sebagai pendapatan langsung utama kepada negara, malah lebih berani dilihat langsung sebagai keterjaminan sekuriti makanan utama negara di samping menjadikan agrikomoditi sebagai KOTA KEMAKMURAN untuk negara masa kini dan masa depan. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis ialah Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik, sebuah institusi pemikir bebas dalam sektor sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat, komunikasi strategik, hubungan kerajaan dan hal ehwal parlimen.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close