Jualan kenderaan jenama nasional terus mengukuhkan penguasaan dalam pasaran automotif Malaysia apabila menguasai 67 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) bagi separuh pertama 2026, meningkat daripada 63 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, sebanyak 256,304 unit kenderaan PERODUA dan PROTON berjaya dijual bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, meningkat sembilan peratus atau 20,343 unit berbanding 235,961 unit pada separuh pertama 2025.
Beliau berkata, jualan kenderaan bukan nasional pula susut kepada 129,049 unit, menyebabkan pegangan pasaran merosot kepada 33 peratus berbanding 37 peratus setahun lalu.
Katanya, secara keseluruhan, industri automotif negara merekodkan TIV sebanyak 385,353 unit dalam tempoh enam bulan pertama 2026, meningkat tiga peratus atau 11,717 unit berbanding 373,636 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu mewakili 49 peratus daripada unjuran awal TIV 2026 sebanyak 790,000 unit yang diumumkan MAA sebelum ini.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, jualan kenderaan penumpang meningkat empat peratus kepada 361,635 unit dalam tempoh dikaji.
Segmen kenderaan komersial pula berdepan cabaran apabila jualannya menurun 11 peratus kepada 23,718 unit, didorong kemerosotan jualan trak pikap sebanyak 19 peratus.
“Dari segi pengeluaran pula, Jumlah Pengeluaran Industri (TIP) meningkat 1.2 peratus kepada 356,946 unit berbanding 352,626 unit dalam tempoh sama 2025.
“Daripada jumlah itu, pengeluaran kenderaan penumpang meningkat satu peratus kepada 336,031 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial melonjak 11 peratus kepada 20,915 unit,” katanya pada taklimat media pencapaian industri automotif Malaysia Separuh Pertama 2026 di sini, hari ini.
Mohd Shamsor berkata, prestasi lebih kukuh industri pada separuh pertama tahun ini didorong beberapa faktor utama termasuk peningkatan permintaan terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) yang meningkat 19 peratus, terutama hasil pengenalan model EV daripada PROTON serta pelancaran model baharu oleh pengeluar automotif.
Beliau berkata, selain itu, jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) melonjak 69 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2026 susulan pengenalan lebih banyak model Battery Electric Vehicle (BEV), Hybrid Electric Vehicle (HEV), Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV).
Katanya, penangguhan pelaksanaan Perintah Kastam P.U.(A) 402 serta Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) sehingga penghujung Jun lalu turut memberi kepastian dasar kepada pengeluar dan pengedar kenderaan, sekali gus membolehkan operasi perniagaan serta aktiviti jualan diteruskan tanpa gangguan.
Pada masa sama, katanya, keyakinan pengguna yang kekal kukuh disokong pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang stabil walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, terus menyokong permintaan terhadap kenderaan baharu.
“MAA turut menyifatkan skim pembiayaan lebih menarik, program pemilikan fleksibel serta kempen promosi agresif oleh pengeluar dan pengedar sebagai antara pemacu utama peningkatan jualan sepanjang enam bulan pertama tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shamsor berkata, bagi separuh kedua 2026, MAA menyemak naik unjuran TIV 2026 kepada 800,000 unit berbanding unjuran asal 790,000 unit yang diumumkan pada Januari lalu.
Beliau berkata, walaupun lebih tinggi daripada sasaran asal, angka itu masih tiga peratus lebih rendah berbanding pencapaian 820,752 unit yang direkodkan sepanjang 2025.
Berdasarkan unjuran baharu itu, katanya, jualan kenderaan penumpang dijangka mencecah 744,000 unit, manakala kenderaan komersial diunjurkan sebanyak 56,000 unit.
Pada masa sama, MAA turut menaikkan unjuran jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) kepada 120,000 unit berbanding sasaran asal 100,000 unit atau sekitar 15 peratus daripada keseluruhan TIV 2026.
Jualan BEV dan HEV masing-masing dijangka menyumbang sebanyak 60,000 unit.
“Prestasi industri pada separuh kedua tahun ini bergantung kepada beberapa pemacu utama, termasuk keyakinan pengguna yang dijangka kekal kukuh susulan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang stabil.
“Selain itu, keadaan pembiayaan yang terus menyokong pemilikan kenderaan dengan kadar faedah stabil dijangka merangsang jualan, terutama selepas Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,” katanya.
Mohd Shamsor berkata, pelancaran model baharu, khususnya dalam segmen SUV serta xEV merangkumi HEV, PHEV dan BEV, turut dijangka menjadi pemangkin utama permintaan pengguna sepanjang baki tahun ini.
Beliau menjelaskan, pengeluar dan pengedar kenderaan juga dijangka memperhebat kempen jualan menjelang penghujung tahun menerusi tawaran rebat, pakej pembiayaan menarik serta program tukar beli kenderaan bagi merancakkan lagi pasaran.
“MAA turut berpandangan lanjutan penangguhan pelaksanaan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) dan Perintah Kastam P.U.(A) 402 sehingga 31 Disember 2026 memberikan kepastian kepada pemain industri bagi merancang operasi dan strategi perniagaan.
“Namun, sebarang pengumuman berhubung kerangka pelaksanaan dasar itu bagi tahun hadapan berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran menjelang akhir tahun ini.
“Pada masa sama, industri automotif masih berdepan risiko luaran termasuk perkembangan geopolitik, turun naik kadar pertukaran asing serta perubahan landskap perdagangan global yang boleh menjejaskan prestasi pasaran pada baki tahun ini,” katanya. – BH ONLINE




