Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Pengeluar kenderaan asing: Pasang EV di Malaysia atau tinggalkan pasaran

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) asing kini berdepan pilihan semakin jelas sama ada mempercepat pemasangan tempatan (CKD) atau melupakan terus persaingan dalam pasaran massa susulan syarat import baharu yang diperkenalkan kerajaan mulai 1 Julai ini.

BIMB Securities dalam nota penyelidikan berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan harga minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa motor minimum 180 kilowatt (kW) atau 245 kuasa kuda (PS) untuk semua import EV import sepenuhnya (CBU) di bawah sistem Permit Import (AP) francais.

Katanya, dasar baharu berkenaan dijangka mengubah landskap industri EV negara daripada dipacu import kepada berasaskan lokalisasi, sekali gus menggalakkan pengeluar automotif asing memasang kenderaan secara tempatan.

Menurut BIMB Securities, nilai CIF pada RM200,000 itu hanya merujuk kepada kos pendaratan kenderaan sebelum cukai dan margin tempatan dikenakan, menyebabkan harga atas jalan (OTR) bagi EV CBU yang layak dijangka meningkat ke paras premium sekitar RM300,000 hingga RM360,000 seunit.

“Langkah bersifat perlindungan itu dibuat selepas pengecualian cukai menyeluruh bagi EV CBU tamat pada Disember 2025 dan bertujuan mempercepat pembangunan ekosistem automotif tempatan,” katanya.

BIMB Securities berkata, dasar EV Malaysia dilaksanakan menerusi tiga fasa utama dengan fasa pertama antara 2022 hingga 2025 memberi pengecualian cukai penuh kepada EV CBU bagi merangsang permintaan dan kesedaran pasaran.

Katanya, fasa kedua pula memberi insentif kepada pemasangan CKD dan import alat ganti bagi menggalakkan lokalisasi, namun banyak jenama terutama pengeluar dari China masih bergantung kepada import bebas duti.

“Kerajaan kini memasuki fasa ketiga yang lebih agresif apabila selepas menetapkan harga lantai OTR pada RM250,000 bagi jenama EV CBU baharu pada akhir 2025, syarat itu diperketat lagi dengan pengenalan harga lantai CIF pada RM200,000 mulai Julai 2026,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, hanya model EV premium berprestasi tinggi yang memenuhi syarat baharu dijangka terus diimport ke Malaysia termasuk model seperti BYD Sealion 7, Denza D9 AWD dan BMW iX xDrive50.

Sebaliknya, segmen EV massa premium dengan julat harga RM150,000 hingga RM250,000 dijangka menyaksikan pengurangan pilihan ketara apabila banyak model popular berkemungkinan dihentikan import atau dijual pada harga jauh lebih tinggi.

BIMB Securities berkata, keadaan itu mewujudkan jurang dalam penawaran EV di Malaysia dan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan lebih terhad selain model yang dipasang secara tempatan.

Katanya, dasar terbaharu itu secara strukturnya memberi manfaat kepada pemain automotif tempatan yang mempunyai pendedahan CKD kukuh termasuk syarikat seperti DRB-HICOM.

Firma itu bagaimanapun mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor automotif secara keseluruhan sambil memilih syarikat berorientasikan pemasangan tempatan dan berhati-hati terhadap pengimport tulen.

BIMB Securities mengulangi saranan ‘pegang’ terhadap MBM Resources dengan harga sasaran RM5.28 dan Sime Darby pada RM2.46, manakala ‘jual’ untuk Bermaz Auto dengan harga sasaran 68 sen.

Dalam nota sama, firma itu turut memberi amaran mengenai risiko perangkap pembangunan infrastruktur sekiranya kadar penggunaan EV menjadi perlahan akibat harga lebih tinggi.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan pulangan pelaburan pengendali pengecas EV seperti Gentari, ChargEV dan JomCharge, sekali gus memperlahankan perkembangan keseluruhan ekosistem EV negara.

Selain itu, BIMB Securities berkata, pendekatan perlindungan yang terlalu agresif terhadap segmen EV kompetitif dari China juga berpotensi mencetuskan risiko perdagangan dan mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau.

“Halangan harga yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan pengguna beralih kepada import kenderaan terpakai ‘grey market’ atau terus menggunakan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE),” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close