Dimensi BisnesDuniaku TeknokratPilihan Editor

GLOPEC Melebarkan Sayap Perniagaan Ke Peringkat Antarabangsa Melalui Platform e-Dagang

Usaha niaga seterusnya dimeterai OMalaysia United Kingdom & HYT Cross Borders China

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Global Entrepreneur One Stop Centre  (GLOPEC),  melakar satu lagi peristiwa penting untuk melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui platform e-dagang dengan memeterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China.

 

Perjanjian kerjasama ini merupakan hasil dari respons positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di United Kingdom dan China yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara GLOPEC dan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China telah diadakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu pada 9 Disember 2023.

Majlis ini merupakan manifestasi inisiatif kerjasama yang merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan strategik GLOPEC untuk tahun 2023.

Suku pertama 2023 akan menyaksikan GLOPEC melebarkan sayap perniagaannya ke United Kingdom, China, Korea dan Timur Tengah.

GLOPEC ialah satu usaha kerjasama strategik di antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya Kristal Handal Sdn Bhd dan TERAJU. Ia ditubuhkan untuk mengurus dan mengimplementasi struktur perkembangan global PKS Sabah untuk menerokai pasaran antarabangsa.

Sebanyak 54 usahawan telah mendaftar di bawah GLOPEC dan mewakili lebih 60 jenis produk dan lebih dari 300 unit penyimpanan stok yang sedia untuk dipasarkan ke United Kingdom, Jerman, Perancis, Belanda, China, Thailand, Indonesia, Singapura dan Korea.

“Saya amat teruja dengan pelancaran Projek P100 pada bulan Januari 2023. OMalaysia akan meluaskan kempen dalam talian dengan menawarkan produk Malaysia kepada 100 buah kedai di United Kingdom pada tahun 2023, dan GLOPEC merupakan salah satu dari peserta penting di dalam kempen ini.

“Usaha ini tidak akan berjaya tanpa komitmen tinggi dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh Azmi Aziz, Pengarah GLOPEC serta pasukannya,” kata Simon Suresh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMalaysia United Kingdom yang ditemui di majlis tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 2016, OMalaysia pada mulanya dikenali sebagai Halal Street United Kingdom.  Simon merupakan rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom, telah menubuhkan satu platform pasaran dalam talian untuk penjual Malaysia memasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom.

Halal Street United Kingdom kemudiannya melalui proses penjenamaan semula kepada OMalaysia pada tahun 2020. Pada hari ini, OMalaysia merupakan sebuah jenama terkemuka di United Kingdom yang mewakili barangan buatan Malaysia yang terbaik, unik dan bermutu tinggi.

“China merupakan sebuah pasaran yang amat luas dan dengan pelbagai barangan yang ditawarkan oleh GLOPEC, saya pasti HYT dan GLOPEC yang diketuai oleh Azmi Aziz, akan dapat menguasai pasaran China tidak lama lagi,’ kata Dato Danny Tan, Pengarah Urusan HYT Cross Borders China. HYT diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En Kyle Keah yang menandatangani perjanjian itu.

HYT Cross Borders China telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan matlamat untuk membantu peniaga Malaysia meluaskan perniagaan mereka ke China. Sejak itu, HYT telah membuka peluang kepada banyak jenama barang Malaysia untuk berurusan dengan 788 juta pengguna dalam talian China, melalui platform e-dagang rentas sempadannya.

Tetamu Kehormat ke majlis tersebut, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar@Yusof bin Khan Bahadar, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, yang diwakili oleh Hanafiah Diman, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah.

Gulamhaidar berkata di dalam ucapannya, beliau berbangga apabila mengetahui bahawa barang buatan Sabah kini dikenali di pasaran antarabangsa dan berharap dapat menyaksikan peningkatan jualan tidak lama lagi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan GLOPEC, semua para usahawan, rakan kerja strategik antarabangsa serta rakan kerjasama yang baru,” katanya.

Sementara itu, Azmi mengucapkan terima kasih kepada semua usahawan yang memberikan kerjasama baik dalam membantu GLOPEC mencapai matlamat utama untuk membantu usahawan dan komuniti tempatan meluaskan pasaran ke persada antarabangsa.

“Saya amat gembira kerana dapat menyaksikan segala hasil kerja dan penat lelah pasukan GLOPEC dan rakan kerja strategik antarabangsanya kini mendapat respons yang baik daripada usahawan dan rakan kerjasama kita.” – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close