Arab Saudi kini dalam usaha menjadi negara sumber kurma utama dunia menerusi kerjasama Pusat Nasional Palma dan Kurma (NCPD) serta Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif NCPD, Dr Mohammed bin Al-Nowairan, berkata industri itu menyumbang kepada sektor eksport paling utama Arab Saudi menerusi eksport kurma ke 107 negara tahun lalu.
Arab Saudi mengeluarkan kira-kira 1.5 juta tan kurma setiap tahun, menjadikan ia sebagai pengeluar kedua terbesar dunia.
Bercakap kepada Arab News, Pengurus Komunikasi dan Jurucakap NCPD, Thamer Aldaydab, berkata NCPD akan membolehkan petani memenuhi kualiti antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan rantaian pengeluaran dan meningkatkan kualiti amalan pertanian sebelum dan selepas penuaian hasil.