AEON Credit Service (M) Bhd komited untuk menambah baik platform digitalnya dan memanfaatkan teknologi baharu dengan melaksanakan jualan menerusi saluran serta perkhidmatan digital dan dalam masa yang sama mengurangkan kekerapan jualan bersemuka.
Pengarah Urusannya Yuro Kisaka berkata syarikat itu menumpu untuk mengukuhkan platform digital dan mempercepat transformasi digitalnya selepas perniagaannya menerima impak daripada penggantungan operasi jualan bersemuka dengan pelanggan dan operasi kaunter hadapan lain semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
“Dengan transformasi ini, kami akan dapat berhubung dengan pelanggan secara langsung dan menawarkan dengan proaktif penyelesaian yang diperibadikan di samping mempermudah dan mengautomasikan proses operasi dan menambah baik kecekapan.
“Dengan menggunakan teknologi digital canggih, kami akan dapat meningkatkan pengalaman pelanggan, menjana peluang peningkatan pendapatan dan mengurangkan kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat agung tahunannya di sini yang mana semua resolusi diluluskan.
Pemegang saham juga meluluskan dividen akhir berjumlah 14 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir 29 Feb, 2020, yang akan dibayar pada 16 Julai. – BERNAMA