Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF : UNDI 18, Sejauh Mana Kewajarannya ?

Semoga pada masa hadapan, negara ini berjaya melahirkan rakyat yang cakna tentang hal ehwal isu negara dengan lebih baik

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

 

Usia 18 tahun…. usia untuk bebas ?

Freeedommmmmmm !

Usia yang seronok !

Entahlah, tetapi itulah hakikatnya. Bermacam baur perasaan pada tika meniti usia ini.

Penulis tidak terkecuali. Di Malaysia, pada usia 18 tahun sebegini, kebanyakan belia telah dianggap dewasa kecil dan boleh dikatakan sudah bersedia dengan bermacam-macam agenda.

Umpamanya sudah boleh untuk mendirikan rumah tangga, mengambil lesen memandu mahupun ada yang sudah cuba-cuba memohon lesen perniagaan, ada yang mula seronok-seronok untuk buat pinjaman kewangan tapi tolong, JANGAN ALONG !

Dalam usia-usia 18 tahun gini, ada yang beria-ria hendak menyertai kesukarelawanan atau polis dan bomba bantuan malahan sudah ada beria-ria untuk bekerja terus, bosan katanya untuk belajar lagi.

Tapi ramai yang seronok kerja ‘part time’.  Seminggu di Mc D, dua minggu selepas itu, di KFC, minggu seterusnya di Pizza Hut….kat kekawan 18 tahun ini, cari pengalaman, tambah pengalaman….

Ada yang belajar secara sambilan ambil sijil sana sini, katanya untuk mempertingkatkan kemahiran masing-masing.

Penulis buat masa ini, kerja niaga online – ambil upah gosok pakaian, key-in data dalam online, malah sekali sekala menulis macam sekarang ini.

Yang penting, minda dan badan kena aktif dengan cara yang berlainan.

Jangan malas ok !

Yang penting dalam negara ini, ada kebebasan atau demokrasi yang boleh dikecapi dan diamalkan dalam negara ini.

Satu persoalan yang semakin hangat dibicarakan di negara kini ialah sama ada belia berumur 18 tahun ini layak untuk mengundi dan melibatkan diri dalam pilihan raya, tidak kiralah pilihan raya yang besar (umum) atau pilihan raya negeri (PRN) atau pun pilihan raya kecil (PRK).

Sesuai ke untuk kami mengundi pada usia 18 tahun ini ? Ramai yang setuju, ramai yang tidak setuju !

Apapun, jangan ingat kami termasuk penulis yang berumur 18 tahun tidak boleh berfikir, ok !

Bagi sesetengah pihak, “kuasa” mengundi yang diberikan dianggap sesuatu yang gah dan hebat.

Tambahan lagi apabila keputusan setiap individu yang mengundi di dalam pilihan raya memberi kesan kepada corak pentadbiran dan pemerintahan negara pada masa depan.

Jika ditinjau, kebanyakan dari belia menyedari hakikat tentang tanggungjawab yang dibawa seiring dengan keputusan untuk mengundi, malahan ada yang yakin bahawa diri mereka telah bersedia untuk membuat keputusan yang bukan sahaja melibatkan diri, keluarga dan bangsa, malah turut melibatkan kemandirian negara pada masa depan ini.

Faktor persekitaran moden pada masa kini juga sebenarnya telah mempengaruhi pemikiran belia, itu pengamatan penulis sendiri.

Pendedahan kepada maklumat yang luas, kemajuan teknologi sejagat serta pengaruh media massa telah menjadikan golongan belia kumpulan yang lebih bermaklumat, matang berfikir, bijak serta berdikari dalam membuat keputusan.

Sesungguhnya, tanggapan bahawa warganegara bawah 21 tahun dianggap belum matang dan tidak mampu membuat keputusan bijaksana tidak lagi relevan, tiada logiknya.

Namun, ada juga kelompok golongan muda yang sama sekali tidak mengambil tahu tentang hal politik dalam negara.

Hal ini kerana mereka tidak mengetahui serta tidak memandang jauh tentang peranan yang dimainkan oleh kerajaan pilihan rakyat.

Perkara ini merupakan isu yang perlu dipandang serius kerana golongan yang tidak ambil tahu ini berpotensi menjadi golongan yang bakal ‘menganiaya’ negara kerana mengundi sekadar kerana disuruh ibu bapa, atau kerana hendak mencukupkan syarat, tanpa berfikir secara rasional tentang mahalnya nilai setiap undian.

Maka, satu perkara yang boleh dilakukan jika kerajaan berhasrat untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah kerajaan perlu memberi pendedahan awal kepada golongan remaja sebelum mereka cukup  berusia 18 tahun.

Pendedahan awal ini termasuklah pengetahuan mengenai politik, parti politik, pilihan raya serta pengaruh dan kesannya kepada ekonomi serta sosial negara.

Perkara-perkara seperti apa sebenarnya manifesto parti, serta kepentingan belanjawan negara perlulah dibincangkan sedari remaja supaya golongan ini lebih terbuka mata dan minda mengenai dunia politik.

Perkara ini juga supaya golongan belia ini kelak tidak sewenang-wenangnya menjadi penyebar kebencian serta berita palsu akibat terpedaya dengan permainan politik kerana kekurangan pengetahuan tentangnya.

Hal ini demikian kerana, para belia kini semakin lantang bersuara dalam media sosial masing-masing sedangkan hakikatnya diri mereka masih cetek ilmu tentang politik dan hanya mengekspresikan apa yang mereka rasakan betul tanpa memastikan kesahihan fakta dan maklumat.

Perkara ini merupakan aspek pertama yang perlu diteliti oleh kerajaan sebelum melakukan tindakan menurunkan had umur kepada 18 tahun.

Penulis nak rumuskan bahawa kerajaan tidak boleh hanya mengambil kira tentang jumlah pengundi yang bakal diperoleh setelah had umur mengundi diturunkan.

Sebaliknya, kerajaan perlu bijak menggunakan teknologi serta kepintaran golongan belia zaman sekarang untuk meluaskan lagi pengetahuan mereka tentang politik.

Hal ini untuk memastikan belia lebih bersedia untuk melibatkan diri dalam politik pada usia bermula dari 18 tahun.

Tambahan lagi ialah supaya tiada lagi golongan pelapis ‘tin kosong’ dalam kalangan belia mengenai isu politik.

“Tin kosong” di sini diistilahkan ibarat seseorang yang hanya tahu bersuara dengan tiada rasa malu mengenai isi percakapannya yang sebenarnya kosong dan sia-sia.

Semoga pada masa hadapan, negara ini berjaya melahirkan rakyat yang cakna tentang isu negara, baik dari segi isu politik, ekonomi, mahupun sosial.

Seribu langkah bermula dengan langkah pertama, pendedahan awal kepada golongan belia yang merupakan “ayam tambatan” negara ini pastinya akan membuahkan hasil yang signifikan untuk masa depan negara. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia idealis.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close