Duniaku Teknokrat

Industri O&G Disaran Guna Sumber Biojisim Asia Tenggara

Industri minyak dan gas (O&G) perlu mula meneroka bagaimana untuk mengeksploitasikan sumber biojisim Asia Tenggara dan menggabungkannya melalui pelan pembangunan yang mampan, kata Pengurus Teknologi Pemprosesan Petronas, Mok Thye Yee.

Mok, dari penyelesaian teknologi kumpulan, bahagian kejuruteraan dan teknologi berkata, peneraju O&G perlu melihat penyelesaian jangka panjang dan bukannya hanya tertakluk semata-mata kepada pelaburan konvensional seperti kompleks petrokimia.

Penggunaan teknologi mampan terdapat dalam pelbagai peringkat kemajuan dalam ekonomi yang berlainan.

“Di Eropah yang jauh lebih maju, mereka sudah pun mempunyai Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui, yang memiliki sasaran yang amat tinggi. Tetapi jika anda melihat di Asia Tenggara, ia merupakan ekonomi yang sedang membangun dengan kepelbagaian biojisim kerana kita mempunyai hutan hujan tropika.

“Pendapat peribadi saya adalah peneraju minyak dan gas di rantau ini sewajarnya melihat kepada inisiatif mampan dengan mengkaji apa yang ada di Malaysia dan Indonesia,” katanya semasa sesi soal jawab di webinar bertajuk ‘Meraih Kemampanan dan Produktiviti dalam Penapisan, Petrokimia dan Bahan Kimia’ hari ini.

Mok menjawab soalan mengenai keutamaan penggunaan teknologi baharu seperti hidrogen dan alga di Asia Tenggara.

Sementara itu, Thailand yang merupakan pengeksport gula kedua terbesar, selepas Brazil, telah  membawa kepada pelaburan besar dalam asid polylaktik dari Eropah bagi penubuhan fasiliti perkilangan, menjadikan negara tersebut sebagai hab utama dalam penghasilan bioplastik.

“Jadi, sebagai contoh, Malaysia dan Indonesia mempunyai penanaman minyak sawit. Di Filipina, kita mempunyai penanaman minyak kelapa. Industri minyak dan gas perlu mula meneroka bagaimana untuk menggunakan sumber biojisim yang kaya ini dan menggabungkan sumber berkenaan ke dalam rancangan teknologi mampan,” kata Mok.

Sesi tersebut telah dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perniagaan Utiliti dan Tenaga Dewan Perdagangan British Singapura, Tim Rockell.

Webinar itu telah dianjurkan oleh Clarion Events dengan kerjasama Asian Downstream Summit dan Asian Refining Technology Conference.- BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close