Kedai RuncitPilihan Editor

Agrobank Buka Peluang Asnaf Berniaga

Agrobank dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ekza Food Resources melancarkan Program Keusahawan Asnaf – Jom Sate bagi membuka peluang baharu kepada bakal usahawan daripada golongan asnaf.

Program kerjasama itu diwujudkan bagi menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawan dalam kalangan komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan.

Ia juga akan membantu meningkatkan taraf sosial ekonomi golongan itu, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi berikutan penularan COVID-19.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang, berkata proses membina perniagaan sate bagi lapan bakal usahawan terpilih yang mengikuti program itu dipermudahkan, apabila mereka menerima bantuan dan sokongan.

“Seramai lapan orang usahawan yang terdiri daripada komuniti asnaf diberi bantuan zakat dan kemahiran latihan, termasuk proses pembelian peralatan membakar dan bahan mentah, memerap rempah ratus serta mencucuk sate.

“Semua ini akan diuruskan bersama agar usahawan ini boleh terus memulakan perniagaan mereka dan terus berusaha untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Keusahawanan Asnaf – Jom Sate secara maya di FB Live Agrobank, hari ini.

Mustapha berkata, inisiatif tiga pihak itu juga adalah untuk memastikan kesinambungan perniagaan bagi pengusaha perniagaan mikro yang meliputi lebih 90 peratus daripada keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

“Adalah menjadi azam kami di Agrobank untuk memanifestasikan program pembangunan usahawan yang menyambut dan menyokong seruan kerajaan melestarikan ekonomi mikro seperti mana strategi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya.

Pada masa hadapan, beliau berkata Agrobank berhasrat untuk mengembangkan inisiatif itu dengan pembabitan lebih banyak pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), komuniti masjid dan pelanggan sedia adanya sebagai rakan strategik selain meluaskan skop perniagaan.

Langkah inovatif itu turut membabitkan beberapa pihak lain di bawah program strategik dan berstruktur Agrobank iaitu Program Keusahawanan Asnaf Agrobank.

Program terbabit dilancarkan buat pertama kali dengan kerjasama Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Alma Processing Trading Sdn Bhd untuk program Bomb Burger tahun lalu.

Secara keseluruhan, seramai 47 asnaf diberikan pelbagai latihan kemahiran berkaitan perniagaan melalui modul pemasaran dalam talian kerjasama beberapa institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Terengganu dan IPB. – BERITA HARIAN

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close