Kedai RuncitPilihan Editor

Alif-Fjord Muncul Syarikat Malaysia Pertama Berjaya Mencipta Kit Ujian Saringan COVID-19 Guna Sampel Air Liur

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Buatan tempatan dan bakal membantu mensejahterakan rakyat Malaysia, malahan global !

Inilah pencapaian luar biasa yang dicapai Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) dengan usaha sama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-fjord) memperkenalkan peralatan perubatan kit ujian COVID-19 menggunakan sampel air liur (deep throat saliva) yang lebih murah.

Malahan kit ini telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA), Kementerian Kesihatan dan Medical Device Safety Service Germany (MDSSG).

Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur, Datuk Mazlan Sabli, berkata kit ujian itu dihasilkan oleh rakyat Malaysia dikenali sebagai Kit Ujian Pengumpulan Sampel Air Liur, Fjord-Saliva yang mengandungi alat (sediprep) untuk meningkatkan konsentrasi kandungan virus dalam sampel air liur bagi mengesan virus COVID-19.

Katanya, kaedah persampelan air liur lebih mudah, selesa dan selamat kerana ia bersifat ‘self collected’ tidak memerlukan bantuan petugas barisan hadapan kesihatan serta kosnya juga lebih rendah iaitu berjumlah RM45.

“Kit ujian ini adalah kaedah persampelan yang selamat dan tidak invasif berbanding persampelan kaedah ‘nasopharyngeal’ dan ‘oropharyngeal’ iaitu melalui hidung dan mulut,” katanya pada sidang media Pelancaran Produk Inovasi Peranti Perubatan COVID-19 Buatan Malaysia Yang Pertama di sini, petang tadi.

Hadir sama ialah Pengarah Pembangunan Perniagaan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Robin Chin.

Kit ujian saringan ini dicipta dan dihasilkan Robin Chin yang berpengalaman luas dalam bidang peralatan perubatan.

Selain Malaysia ia turut dipatenkan di tujuh negara lain terdiri Amerika Syarikat; United Kingdom, Jepun, China, Korea, Hong Kong dan Jerman.

Mazlan berkata, sebelum dihasilkan, kit ujian ini dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada awal Disember 2020.

Menurut beliau, pengeluaran akan bermula esok dan dijangka dikeluarkan sebanyak dua juta unit sebulan.

Katanya, kaedah itu dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan ketika melaksanakan ujian saringan kerana penggunaan peralatan perlindungan (PPE) serta peralatan berkaitan serta bilangan petugas barisan hadapan dapat dikurangkan.

“Penggunaan kit ujian ini dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan paling konsisten,” katanya.

Kelebihan kit ini adalah seperti berikut;

  • Produk 100% buatan Malaysia ini selamat daripada potensi jangkitan disebabkan campuran sampel dengan buffer nyahaktif virus.
  • Sampel mampu bertahan selama 21 hari di dalam suhu bilik tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk bersuhu rendah.
  • Saringan sampel menggunakan Sediprep menghasilkan konsentrasi kandungan virus untuk memudahkan ujian di makmal dan ketepatan yang tinggi.

Datuk Mazlan berkata, Alif-Fjord kini telah bersedia untuk membekalkan kit ujian pengumpulan sampel air liur di dalam jumlah yang besar. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close