Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam Secara Norma Baharu

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyediakan 6,000 bungkusan makanan secara percuma sepanjang bulan puasa bagi warga kota yang tidak sempat pulang ke rumah untuk berbuka.

Penyerahan juadah berbuka puasa menerusi inisiatif Amal Ihtimam Ramadan itu antara lain disampaikan kepada wakil media, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan kesihatan.

Menerusi kerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dan Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur, inisiatif berkenaan turut menyantuni orang awam serta golongan kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata program tahunan, Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam ke-12 berbeza daripada sebelumnya kerana perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“Ia juga selari prinsip perkongsian rezeki yang diamalkan Bank Islam sejak penubuhannya 38 tahun lalu.

“Bersempena Ramadan ini, kami memperuntukkan hampir RM174,000 untuk merancakkan program kebajikan sosial bagi manfaat segenap lapisan masyarakat, termasuk barisan hadapan yang berkorban untuk mengawal jangkitan COVID-19 serta anggota media yang terus memberikan berita terkini kepada masyarakat.

“Lebih 3,000 bungkusan bubur lambuk disediakan secara gotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid dan sukarelawan Bank Islam terpilih untuk diedarkan kepada barisan anggota beruniform serta orang ramai di kawasan sekitar Kuala Lumpur, hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut menyumbang zakat bernilai RM5,000 kepada Masjid Jamek Kampong Bharu bagi manfaat komuniti dan jemaah setempat.

Dengan hasrat untuk berkongsi rezeki, katanya, seramai 15 asnaf terpilih di sekitar kawasan Kampung Baharu diberikan sumbangan berjumlah RM300, berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai.

“Selain itu, Bank Islam akan bekerjasama dengan YFBM bagi menyalurkan sumbangan kepada enam rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah perlindungan wanita dan rumah kebajikan warga emas terpilih di sekitar Kuala Lumpur.

“Rumah-rumah kebajikan yang layak ini akan menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur bernilai RM2,000 setiap satu.

“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, Bank Islam amat peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat kota serta kesempitan yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi yang mencabar hari ini.

“Semoga usaha kecil kami ini dapat memberikan kegembiraan dan meringankan beban yang mereka tanggung. Bank Islam akan terus berusaha menyediakan bantuan kepada mereka yang terkesan ekoran pandemik COVID-19,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close