AmBank Islamic Bhd memperuntukkan sebanyak RM450,000 untuk menyokong Ibupreneur Malaysia, perusahaan sosial yang memperkasakan usahawan wanita.
Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pembiayaan tersebut akan digunakan untuk modal awal dan inisiatif pembinaan kapasiti di bawah program iTEKAD, yang bertujuan untuk memupuk pembangunan dan pertumbuhan perniagaan diterajui wanita.
“Peserta terpilih akan menerima modal kerja dan akses kepada modul latihan komprehensif yang disediakan untuk melengkapi mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan jangka masa panjang.
“Program pembinaan kapasiti akan berlangsung sepanjang tahun dan termasuk tempoh pemantauan, dengan tumpuan kepada pertumbuhan mampan dan kesediaan pasaran,” kata Ambank Islamic.
Sehingga kini, AmBank Islamic telah menyediakan lebih RM1 juta dalam bentuk geran kepada pelbagai segmen usahawan mikro di seluruh negara, menyokong usaha peningkatan kemahiran dan peningkatan kapasiti.
Bagi tahun kewangan 2025, AmBank Islamic memperuntukkan sejumlah RM2.8 juta untuk program iTEKAD. – BERNAMA