Dimensi BisnesMalaysiaPilihan Editor

BACALAH AUTO: Jualan Proton Naik 10.8 Peratus Pada Mei

Jualan pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada 9,792 unit pada Mei 2022, setelah syarikat itu berjaya meningkatkan pengeluaran dengan mengatasi isu bekalan komponen.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding Mei 2021.

Timbalan Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata peningkatan jualan pada Mei itu daripada 8,839 unit yang terjual pada April disebabkan syarikat menaikkan jumlah pengeluaran untuk mengejar permintaan pasaran.

“Sama dengan semua jenama industri automotif, kami masih berusaha untuk mendapat bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak dan oleh itu, kami amat menghargai kesabaran pelanggan yang tetap memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini adalah pencapaian yang bagus memandangkan syarikat perlu menguruskan peralihan model daripada versi lama ke versi Proton Saga 2022 yang dilancarkan pada 12 Mei.

“Model baharu menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan serta peningkatan keselamatan dan kualiti. Oleh itu, permintaan pasaran amat menggalakkan dengan lebih 12,000 tempahan diterima,” katanya.

Roslan berkata, model itu juga menunjukkan prestasi yang tinggi di pasaran eksport dengan jumlah eksport tahun ini berjumlah 1,482 unit, penambahan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lalu.

“Jualan eksport bagi Mei sebanyak 513 unit adalah penambahan sebanyak 12.5 peratus berbanding bulan lepas, manakala jualan keseluruhan tahunan sebanyak 2,086 unit adalah penambahan sebanyak 47.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, Pakistan kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 1,350 unit diikuti oleh Mesir dan Brunei dengan 172 dan 158 unit,” katanya.

Berbanding pasaran automotif secara keseluruhan pula, beliau berkata Proton mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 19.6 peratus manakala jumlah pegangan pasaran tahunan (YTD) dianggarkan pada 17.1 peratus. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close