Dimensi BisnesPilihan Editor

“NTW 2023” Satu Inisiatif Kerajaan Tingkat Keupayaan & Kemahiran Pekerja Lebih Baik.

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 adalah satu inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran pekerja dalam pelbagai bidang bagi mendapatkan gaji serta prospek pekerjaan yang lebih baik,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (SM), Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Menurut beliau, ini memandangkan jurang kemahiran yang semakin melebar serta dorongan perlahan ke arah celik digital dalam kalangan penduduk negara ini menjadi antara beberapa faktor yang memperlahankan kemajuan dan daya saing negara.

Justeru,  KSM mempelawa setiap lapisan masyarakat mengambil peluang menyertai NTW 2023 yang diadakan secara percuma dan akan tamat pada hujung minggu ini (esok Ahad).

NTW 2023 adalah satu inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran pekerja dalam pelbagai bidang bagi mendapatkan gaji serta prospek pekerjaan yang lebih baik.

Kata Dr Zaini, KSM berpendapat terdapat satu keperluan mendesak untuk menangani isu ini dengan cara yang lebih berkesan dan ketara antaranya dengan penganjuran NTW.
“Bukan saja ia boleh meningkatkan kemahiran, tetapi pada masa sama kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan kerja masa depan juga akan menjadi keutamaan,” katanya ketika sesi libat urus bersama media mengenai NTW 2023, di sini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood.

NTW yang masuk fasa hari terakhir penganjurannya oleh HRD Corp berjaya mencatatkan lebih 21,000 kursus ditawarkan dengan 78,000 peserta menyertainya menerusi platform dalam talian, kelas atau bengkel latihan, hibrid dan lain-lain.

Sementara itu, dianggarkan kos sepanjang seminggu latihan yang diadakan secara percuma ini bernilai kira-kira RM250 juta.

Zaini berkata, melihat kepada pembabitan memberangsangkan peserta dalam NTW 2023 kali ini, ia mungkin dianjurkan pada skala nasional secara tahunan kerana ia ternyata memberi manfaat kepada setiap peserta yang menyertainya.

“Selain itu, di peringkat dasar kebangsaan, kita akan memastikan mempunyai dasar yang betul untuk menyediakan bakat dengan pembangunan kemahiran dan peluang pertumbuhan kerjaya.

“Jadi rebutlah peluang program yang diadakan secara percuma pada minggu ini. Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan maklumat di www.nationaltrainingweek.gov.my untuk menyertai kursus yang diminati.

“Selain itu penyedia latihan dan kursus yang berminat juga dijemput untuk mendaftar melalui laman web berkenaan,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close