GovernansPilihan Editor

MOSTI Bantu 144 Syarikat Pemula Menerusi MYStartup

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membantu sebanyak 144 syarikat pemula melalui inisiatif Program MYStartup, tahun lalu.

Menterinya, Chang Lih Kang, berkata sehingga kini kementerian mengenal pasti satu syarikat Malaysia berstatus unicorn (syarikat pemula yang mempunyai nilai melebihi AS$1 bilion) iaitu Carsome dan enam syarikat berstatus soonicorn (syarikat pemula berpotensi menjadi Unicorn).

Katanya, ia meliputi bidang seperti e-dagang, bio-perubatan, robotik, Internet Segala Benda (IoT) dan perbankan.

Tahun ini, jelasnya, kira-kira 7,000 syarikat pemula dijangka menerima manfaat daripada program di bawah MYStartup.

“Antara inisiatif dijalankan adalah MYHackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator dan program pembangunan ekosistem yang lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Lih Kang berkata, program bersasar melalui SUPER 2021-2030 dirangka untuk memecut soonicorn dikenal pasti mencapai taraf Unicorn.

“Soonicorn akan dibantu meningkatkan skala dan daya saing termasuk promosi, penjenamaan, akses kepada mentor yang mempunyai kepakaran teknikal, rangkaian perniagaan, menghubungkan syarikat pemula kepada pelabur serantau dan antarabangsa serta meluaskan pasaran,” katanya.

Katanya, Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) turut menyediakan pembiayaan berbentuk ekuiti kepada syarikat pemula dalam bidang teknologi ICT, teknologi hijau dan teknologi baharu.

“Pelaburan melalui dana modal teroka MAVCAP sudah dibuat ke dalam 265 syarikat pemula dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM947 juta,” katanya. – BERNAMA

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close