GovernansMalaysiaPilihan Editor

PASCA PRU15: ADUN Belanja, Antara Angkat Sumpah EXCO Kerajaan Campuran Perak

Kerajaan campuran Perak: 3 ADUN BN, 7 ADUN PH Angkat Sumpah

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah antara 10 ADUN Perak yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, di sini, hari ini (22 November 2022).

Sepuluh ADUN Perak membabitkan tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh mewakili Pakatan Harapan (PH).

Kesemua mereka melafazkan sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, turut sama berangkat ke istiadat itu.

Tiga ADUN mewakili BN yang mengangkat sumpah ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja), kesemuanya daripada UMNO.
Baki tujuh ADUN daripada PH ialah ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin (AMANAH); A Sivanesan (Sungkai – DAP); Loh Sze Yee (Jalong – DAP); Teh Kok Lim (Aulong – DAP); Sandrea Ng Shy Ching (Teja – PKR); Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah – PKR); dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar – DAP).

Ia sekali gus menjadikan komposisi parti diwakili EXCO kerajaan campuran Perak yang baharu dibentuk bawah pentadbiran Menteri Besar daripada BN, Datuk Seri Saarani Mohamad, ialah empat daripada DAP, BN (tiga), PKR (dua) dan AMANAH (satu).

Barisan EXCO berkenaan terbentuk daripada kerjasama BN dan PH yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri.

Pembentukan kerjasama menerusi gabungan dua parti itu memperoleh sokongan 33 ADUN daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Kerjasama itu turut bersetuju melantik Saarani yang juga ADUN Kota Tampan daripada BN sebagai Menteri Besar Perak.

Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, di sini, semalam.

Keputusan PRU15 yang diumum pada Sabtu lalu menyaksikan PH berjaya memenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi di Perak, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

Sementara itu, Mohd Zolkafly sebelum ini juga adalah EXCO dalam pentadbiran Saarani yang mula memegang jawatan Menteri Besar sejak Disember 2020 susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 5 Disember tahun sama selepas kehilangan majoriti sokongan ADUN.

Perak sebelum pembubaran DUN pada 17 Oktober lalu, mempunyai 10 EXCO bawah pimpinan Saarani yang komposisinya membabitkan lima ADUN daripada BN, PAS (dua) dan BERSATU (tiga). – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close