Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd (Starbucks Malaysia) bekerjasama dengan Yinson GreenTech (YGT) untuk menjadi rangkaian kedai kopi yang pertama membina stesen pengecasan kenderaan elektrik (chargEV) di cawangan pandu lalu Starbucks.
Bermula hari ini, pemandu boleh mengecas EV mereka melalui 26 chargEV di 17 kedai Starbucks di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor secara percuma sehingga akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei, Datuk Sydney Quays, berkata syarikat itu sentiasa bersemangat dalam melindungi planet bumi dan memacu inovasi yang boleh meningkatkan pengalaman pengguna.
“Melaksanakan chargEV di kedai kami menandakan pencapaian penting dalam usaha kemampanan kami sebagai sebuah syarikat, dan kami berharap ia akan membawa industri peruncitan ke arah penyahkarbonan untuk Malaysia pada masa depan
Starbucks menyasarkan untuk mengurangkan jejak karbon globalnya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Kami secara bersama komited untuk melancarkan lebih banyak tempat pengecasan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Pasukan chargEV juga mengalu-alukan syarikat perniagaan lain yang berfikir untuk melibatkan diri bersama kami dan mengetahui lebih lanjut tentang penyelesaian EV bersepadu kami dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam peralihan EV di Malaysia,” katanya.
chargEV merupakan rangkaian pengecasan awam terbesar di negara ini, yang beroperasi di lebih 400 lokasi pengecasan di seluruh negara.
Untuk menggunakan stesen pengecasan, pemandu EV perlu memuat turun aplikasi chargEV melalui Apple Store atau Google Play bagi mengaktifkan pengecasan kenderaan mereka. -BERNAMA