Pilihan EditorTwo Cents

SATU PANDANGAN: Kontena Halal Tingkatkan Keyakinan Umat Islam, Kukuh Ekonomi Negara

Oleh Mazlinawati Abdul Majid; Muhammad Khalid Ahmad Kamal dan Prof Madya Dr Syuhaida Ismail

Persoalan halal mungkin hanya disedari mempunyai kaitan dengan industri perkapalan terutama kontena apabila isu kartel daging import didakwa menyalahgunakan logo halal meletup di media, selain berita serbuan pihak berkuasa terhadap daging haiwan halal bercampur dengan babi di pelabuhan.

Hakikatnya, skop halal kontena perkapalan yang sering dikaitkan bahan mentah makanan terutama daging adalah lebih luas kerana ia membabitkan rangkaian luas produk dan perkhidmatan pengguna daripada kosmetik hingga kegiatan pelancongan.

Kontena halal dalam konteks industri perkapalan merujuk kepada penggunaan kontena perkapalan ditetapkan secara khusus dan disahkan halal untuk mengangkut produk halal.

Ia sebenarnya menawarkan beberapa faedah untuk industri halal seperti membantu memastikan produk berkenaan diangkut dengan mematuhi piawaian ditetapkan, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap proses rantaian bekalan produk halal.

Dalam kajian Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara Islam (SESRIC), iaitu subsidiari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijalankan pada 2021 melihatnya konsep holistik menggalakkan penggunaan bertanggungjawab dan mengiktiraf kaitan antara perniagaan dengan kesejahteraan sosial.

Tidak hairanlah sekiranya saiz pertumbuhan industri halal global meningkat pertumbuhannya sepanjang tahun. Ini terbukti apabila kajian SESRIC turut mendapati jumlah nilai pasaran halal global meningkat daripada AS$3.2 trilion (RM14.3 trilion) pada 2014 kepada AS$4.9 trilion (RM21.9 trilion) pada 2019, sekali gus mengunjurkan trend ini akan meningkat kepada AS$6 trilion (RM26.8 trilion) pada 2024.

Di samping pertambahan populasi Islam, terdapat peningkatan kesedaran global terhadap isu seperti kemampanan, penggunaan beretika dan pertumbuhan hijau dengan pengguna lebih mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai kesan alam sekitar dan sosial daripada produk mereka beli.

Akibatnya, permintaan terhadap produk bersumberkan etika dan mesra alam meningkat serta membawa pertumbuhan ketara dalam industri halal. Laporan State of the Global Islamic Economy 2020/21 menganggarkan umat Islam membelanjakan AS$2.02 trilion (RM9 trilion) pada 2019 merangkumi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, pengangkutan dan media/rekreasi.

Perbelanjaan ini mencerminkan pertumbuhan 3.2 peratus dibandingkan 2018. Gabungan populasi Islam semakin meningkat dan trend seluruh dunia ke arah kemampanan dan penggunaan beretika turut membantu industri halal berkembang maju, beberapa tahun kebelakangan ini.

Piawaian halal

Malah, banyak negara OIC dan bukan OIC mengambil langkah untuk mengukuhkan peraturan mengenai pensijilan dan piawaian halal seperti Pelabuhan Rotterdam, Belanda, iaitu pelabuhan paling sibuk di Eropah, yang membangunkan buku panduan dengan garis panduan halal seperti dapatan kajian DinarStandard pada 2017.

Pada 2009, Malaysia merekodkan sebagai negara pertama di dunia memperkenalkan panduan proses berkaitan penghasilan produk halal menerusi Piawaian Malaysia MS1500:2009, Seksyen 3.5.4 Pemprosesan, Pengendalian, Pengedaran dan Penyajian, kemudiannya sebahagiannya dipinda oleh piawaian baharu MS1500:2019, Seksyen 4.5.2 Pembuatan, Pengendalian dan Penyajian Produk.

Di samping itu, dalam MS1500:2019 baharu, Seksyen 4.7 Pembungkusan dan Pelabelan, item c turut dinyatakan ‘semasa penyediaan, pemprosesan, penyimpanan atau pengangkutannya, ia hendaklah diasingkan secara fizikal daripada mana-mana makanan lain tidak memenuhi keperluan dinyatakan dalam perkara a) atau b) atau apa-apa perkara lain ditetapkan sebagai najis oleh undang-undang syariah.’

Justeru, seperti amalan di pelabuhan di negara ini, wujud keperluan menyediakan gudang halal bagi tujuan penyimpanan produk halal agar mematuhi kehendak MS1500:2019.

Atas dasar itu, industri pengangkutan dan logistik secara spesifiknya perlu mahir untuk mengekalkan piawaian halal untuk memastikan produk yang dihantar adalah halal dan bersih serta tidak dicemari bahan tidak halal terutama bagi produk makanan.

Di negara ini, seperti kajian oleh UTAR, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan logistik (LSP) menawarkan perkhidmatan logistik halal. Kewujudan syarikat logistik halal ini menunjukkan penggunaan logistik dan pengangkutan halal akan terus berkembang dan penggunaannya akan lebih diaplikasikan dengan baik apabila industri halal menjadi lebih formal dan matang.

Ini akan turut meningkatkan penggunaan kontena halal bagi memenuhi permintaan bagi rantaian bekalan untuk produk halal. Ini selari dapatan kajian Grand View Research menjangkakan peningkatan kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi pasaran logistik halal global meliputi tiga komponen, iaitu penyimpanan, pengangkutan dan pemantauan logistik halal sebanyak 8.4 peratus dari 2020 hingga 2027.

Bagaimanapun, perlu diingatkan penggunaan kontena halal dan amalan logistik halal berbeza di seluruh syarikat perkapalan dan wilayah unik kerana ia juga bergantung kepada faktor seperti permintaan pelanggan, keperluan kawal selia serta pertimbangan rantaian bekalan itu sendiri.

Oleh itu, adalah penting untuk pengusaha produk halal dan pihak terbabit dalam pengangkutan serta logistik menyemak dengan syarikat perkapalan individu untuk menentukan sama ada mereka menawarkan perkhidmatan kontena halal dan sejauh mana ia mematuhi piawaian halal berkenaan.

Dari aspek potensi penggunaan kontena halal pula, ini secara umumnya dapat dilihat dari aspek kebolehannya membantu membina keyakinan pengguna terhadap produk halal, meningkatkan akses pasaran untuk perniagaan halal dan memudahkan perdagangan dan merentas rantau dan negara berbeza.

Di samping itu, penggunaan bekas halal boleh membantu menangani keperluan unik dan cabaran industri halal, seperti keperluan untuk amalan kebersihan dan sanitasi ketat, pengasingan daripada produk tidak halal dan pematuhan kepada keperluan pensijilan halal.

Institut Maritim Malaysia (MIMA), sebagai agensi penyelidikan dasar dan polisi maritim mengambil tanggungjawab fardu kifayah ini untuk memastikan keperluan pelaksanaan kontena halal di Malaysia dipenuhi melalui aktiviti penyelidikan dan perundingan dijalankan.

Ini dijangka mampu meletakkan Malaysia sebagai hab maritim halal dalam peta dunia, selari Piagam Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam memastikan dasar/kaedah/proses ditetapkan selaras dengan pelaksanaan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). – BH ONLINE

  • Penulis adalah Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Industri Maritim, Institut Maritim Malaysia (MIMA)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close