GovernansMalaysia

Belanjawan 2025 Tertumpu Dalam Kerangka Ekonomi MADANI – PM

Keadilan Sosial Rakyat itu hendaklah difokuskan !

Jangan dilihat ada mana-mana masyarakat yang terpinggir atau dipinggirkan !

Kata-kata sedemikian adalah luahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berpandangan bahawa Belanjawan 2025 harus kekal dan tertumpu kepada penanda aras yang ingin dicapai dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri berkata, usaha merangka belanjawan negara itu harus bermula dengan asas untuk meningkat dan melaksanakan pembaharuan berterusan ke arah mencapai hasrat berkenaan.

“Ini yang kita tekankan mengenai menaikkan siling (ekonomi) supaya penstrukturan ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan. Makanya daya cipta, daya saing, pendigitalan, AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan ‘reform’ dalam penjawat awam.

“Tidak boleh kita harap dengan cara dan kaedah lama untuk kita capai pendekatan baharu atau dasar baharu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan di sini.

Katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada kegiatan bernilai tambah seperti industri elektrik dan elektronik, daya saing termasuk industri sedia ada seperti sawit serta lonjakan kepada digital dan automasi.

“Seperti yang kita tahu, hala tuju ekobomi negara itu jelas. Tahun lalu, kita perkenalkan kerangka ekonomi MADANI diikuti pelan induk perindustrian baharu. Kemudian pelan peralihan tenaga dan kajian separuh penggal RMK-12. Kemudian kita kemukakan beberapa pembaharuan dasar, termasuk yang sebahagiannya sudah membuahkan hasil sejak awal 2024.

“Tentunya memberi sedikit keresahan kerana setiap pembaharuan tentunya mengundang permasalahan dan ini boleh dileraikan sedikit, sekiranya kita dapat menyampaikan maklumat dan komunikasi dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, keperluan untuk memacu pertumbuhan negara juga perlu diberi penekanan kerana hanya melalui pertumbuhan yang pesat dan meyakinkan, kemudahan rakyat dapat dipertingkatkan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, pencapaian negara tahun ini diiktiraf di peringkat antarabangsa antaranya oleh S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+, dengan tinjauan ‘Stabil’.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024 merekodkan sebanyak 4.2 peratus, berbanding suku keempat 2023 iaitu sebanyak tiga peratus.

“Pemulihan eksport barangan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama 2024, berbanding penguncupan 8.1 peratus untuk tahun 2023 dan kita mencapai paras indeks Bursa FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion.

“Pencapaian tertinggi dengan pelaburan langsung yang diluluskan tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi ketimbang tahun 2022,” katanya.

Mengenai kos sara hidup, Anwar berkata, isu terbabit khususnya kebimbangan dalam kalangan rakyat tidak boleh diketepikan.

“Secara relatif, di Malaysia, bahan asas lebih murah. Minyak, gula, tepung sama ada minyak petrol, diesel atau minyak masak itu ketimbang lebih jauh lebih murah di Malaysia tapi itu tidak boleh menolak kenyataan bahawa kos sara hidup masih menekan sebahagian besar rakyat.

“Kita juga harus fikir kaedah baharu, melenyapkan kartel atau monopoli, atau mengelak ketirisan supaya pulangan itu akan balik kepada rakyat menyalurkan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) atau bantuan khusus lain,” katanya. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close