Duniaku TeknokratMalaysiaPilihan Editor

MAHB Milik Pajakan LTSAAS Selama 60 Tahun Lagi

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) buat masa ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS, kepada mana-mana pihak.

Katanya, ini kerana hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang terbabit,” katanya.

“Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub-leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan membabitkan penjualan hartanah.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini, dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berasingan berkata, setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh Kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Katanya, hak pengoperasian kekal di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga tahun 2034 dan 2067.

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005. Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini.

“Kerajaan memahami dan mengulangi pendirian bahawa usaha dan pertimbangan sewajarnya diperlukan sebelum membuat keputusan akhir mengenai aset-aset strategik awam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, seperti LTSAAS.

“Justeru itu, orang ramai diminta untuk berhenti daripada menyebarkan maklumat salah mengenai perkara ini atau tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close