Sejumlah RM13.6 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan Sarawak 2024 yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abang Johari berkata, Belanjawan 2024 dengan tema ‘Pembangunan Untuk Semua: Bersama Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu’ akan menjadi bajet pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Sarawak berkata, belanjawan itu dirangka teliti untuk memastikan pembangunan menyeluruh dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar dalam usaha memacu kemakmuran Sarawak.
“Belanjawan ini juga memberikan bantuan kos sara hidup untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan disasarkan serta terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2024 pada sidang hari pertama Penggal Kedua DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Perbelanjaan mengurus merangkumi emolumen untuk kakitangan awam sebanyak RM1.06 bilion; RM1.7 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan; RM1.5 bilion untuk geran dan bayaran tetap; RM107 juta untuk perolehan aset dan RM104 juta untuk perbelanjaan mengurus lain.
“Belanjawan Sarawak 2024 memperuntukkan RM9.04 bilion untuk pembangunan dengan RM8.9 bilion dibiayai dana negeri, manakala RM123 juta melalui pinjaman Persekutuan dan geran yang boleh dibayar balik.
“Belanjawan Sarawak akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor utama untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi yang akhirnya menjadikan ekonomi Sarawak makmur, teguh dan berdaya tahan,” katanya. – BH ONLINE