Pilihan EditorTwo Cents

BN 48 Tahun: Mewajahkan Semula BARISAN NASIONAL – Peguam Muda Kampung

Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

Baharu-baharu ini saya berkesempatan bersama ribuan ahli akar umbi Barisan Nasional di World Trade Centre mendengar ucapan Dasar Pengerusi Barisan Nasional yang juga merupakan Presiden Umno sempena Majlis Sambutan Ulangtahun BN ke-48.

Antara perkara penting di dalam ucapan beliau adalah usaha untuk MEWAJAHKAN SEMULA BARISAN NASIONAL tanpa sesekali memudarkan formula asas BN yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, prinsip kesederhanaan (moderation), toleransi, dan integrasi di samping nilai moral dan etika yang tinggi.

Di dalam hal ini, Pengerusi BN telah menggariskan 5 langkah penting dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada perikatan ini untuk mentadbir semula negara. Berikut adalah petikan ucapan beliau yang penting untuk saya kongsikan iaitu:-

“Langkah Pertama, di peringkat dalaman, Barisan Nasional mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU ke-15. Sementara kita sentiasa bertoleransi untuk memastikan wakil-wakil parti komponen dalam membentuk kerajaan yang majmuk, formula yang saya perkenalkan dalam 2 PRN terkini iaitu prinsip W.A.LI. (Winnable, Acceptable and Likeable) ternyata menggamit keyakinan rakyat kepada BN.

Prinsip W.A.LI. ini akan diteruskan dengan mengambil kira potensi, kebolehmenangan, demografi dan situasi politik semasa di setiap kawasan dalam rangka pengagihan kerusi di kalangan komponen BN”.

“Langkah Kedua pula menampilkan lebih ramai muka-muka baharu sebagai wajah hadapan Barisan Nasional.

“Kita telah membuktikan 87% muka baharu di Melaka dan 79% di Johor telah menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama Barisan Nasional.

“Berdasarkan rekod dalam Pilihan Raya Umum Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini, di kawasan muka-muka baharu yang ditampilkan, kita menang di semua saluran muda termasuk saluran pengundi baharu berumur 18-25 tahun”.

“Langkah Ketiga, Barisan Nasional mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka. Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja, selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan, yang berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat dan kesetiaan kepada segala pasak negara”.

“Langkah Keempat, menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan (islah dan reform) bagi memperkasakan lagi tata kelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran.

“Ini juga termasuklah memastikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang tidak lagi dicemari dengan agenda untuk membunuh seteru politik sebagaimana yang berlaku di zaman PH seperti mengeksploitasi institusi Peguam Negara dan SPRM, sehinggakan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga daripada kalangan pemimpin politik”.

“Semua ini perlu dijamin agar tidak lagi berulang. Menjadi kerajaan bukan bermakna menjadikan institusi negara sebagai perkakasan.

“Sebaliknya menjadi kerajaan adalah seperti mana Barisan Nasional bergerak ke hadapan, membangunkan kapasiti negara, memakmurkan ekonomi untuk agihan tanpa mengira kaum, mewujudkan peluang untuk anak-anak Malaysia melebarkan usaha, membina upaya anak-anak muda agar mereka lebih berdaya saing”.

“Langkah Kelima, mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi Negara maju berpendapatan tinggi dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi yang saksama, memperhebatkan pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi ‘need-based’ dan bukannya ‘race-based’, pengurusan ekonomi yang mapan, lebih telus dan berpandukan tadbir urus yang baik bagi merancakkan kembali pertumbuhan”.

“Barisan Nasional memiliki pengalaman dan kepakaran untuk digembleng bagi menyusun balik usaha-usaha memacu ekonomi dan membantu rakyat yang kini sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan keperluan yang meningkat amat mendadak.

“Ini termasuklah pengalaman kita menguruskan ekonomi dalam pelbagai zaman kegawatan dan krisis ekonomi yang hebat

Kelima-lima langkah di atas adalah sebahagian dari usaha mewajahkan semula BN agar ianya kembali diterima oleh majotiri rakyat negara ini.

Pastinya kali ini, rakyat yang berumur 18 tahun ke atas sudah bijak dan matang untuk membuat pilihan yang terbaik bagi menjaga kebajikan mereka dan mengembalikan semula maruah negara ini di persada dunia.

Sama-samalah kita doakan agar usaha yang baik ini bukan sahaja dapat memulihkan keadaan negara bahkan menjadikan negara ini “Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur” (Negara yang terbaik dan mendapat keampunan dari Allah SWT).

AKHIRAT, NEGARA & KELUARGA

 

  • Penulis ialah Peguam Muda Kampung.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close