Ekonomi Islam & GlobalGovernansPilihan Editor

Malaysia tidak jual minyak mentah kepada negara ASEAN, masih import 400,000 tong sehari – Johari Ghani

Malaysia tidak menjual minyak mentah kepada negara anggota ASEAN lain, kerana negara masih mengimport kira-kira 400,000 tong minyak mentah sehari meskipun merupakan negara pengeluar minyak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia masih dikategorikan sebagai pengimport bersih minyak dan situasi itu menyebabkan negara tidak mampu mengeksport bekalan minyak mentah kepada negara jiran ASEAN.

“Kita masih mengimport kira-kira 400,000 tong minyak sehari, jadi kita tidak boleh menjual minyak kepada negara lain,” katanya kepada media Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat negara ASEAN yang meminta Malaysia menjual minyak susulan krisis bekalan global akibat konflik Iran dan ketegangan geopolitik semasa.

Dalam pada itu, Johari berkata, mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN, hari ini, banyak tertumpu kepada kesan perang Iran terhadap ekonomi 11 negara anggota, termasuk peningkatan harga minyak dunia yang menjejaskan pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan dan logistik, penerbangan, pembuatan, petrokimia, industri makanan serta penjanaan tenaga.

“Apabila harga minyak meningkat hampir 60 peratus berbanding harga asal, ia memberi kesan besar kepada hampir semua ekonomi ASEAN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal kerana negara merupakan pengeksport bersih gas asli cecair (LNG).

“Walaupun kita pengimport bersih minyak, Malaysia adalah pengeksport bersih LNG, dan lebihan daripada LNG membantu menampung defisit minyak mentah,” katanya.

Johari berkata, kerajaan ketika ini masih mampu mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun konflik Asia Barat memberi kesan kepada rantau ini. – BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close