MADS Karnival dengan kerjasama BUSANA @ Menara MARA menawarkan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM5,000 melalui Ganjaran Pesona Raya sebagai tanda penghargaan kepada pengunjungnya.
Dengan menampilkan gabungan elemen warisan dan sentuhan moden, karnival ini bukan sekadar meraikan semangat perayaan, malah menjadikan BUSANA @ Menara MARA sebagai destinasi utama untuk persiapan raya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn Bhd, Faizul Idzhar, berkata setiap tahun BUSANA @ Menara MARA komited untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui Bazar Raya yang disediakan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka, tetapi juga memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan raya dengan harga yang berpatutan.
Beliau berkata, ruang legar utama dan laluan berbumbung BUSANA @ Menara MARA akan dihiasi dengan elemen batik yang diinspirasikan daripada warisan tradisional, mencipta suasana perayaan yang penuh kehangatan dan kemeriahan.
Menurutnya, karnival yang bermula dari 2 hingga 31 Mac 2025 itu akan menampilkan lebih 60 reruai jualan, merangkumi bazar Aidilfitri yang menawarkan pakaian Hari Raya, tudung, songkok, aksesori, biskut raya, beg tangan, dan kasut.
“Selain itu, Bazar Ramadan dan Street Cafe akan membawa pengalaman berbuka puasa dengan pilihan juadah enak di sekitar BUSANA @ Menara MARA dan Street Cafe, Medan MARA sepanjang bulan ini.
“Program itu juga dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti untuk setiap pengunjung sekali gus menyemarakkan suasana Ramadan, antaranya persembahan daripada artis terkenal, pengagihan bubur lambuk percuma setiap hari, majlis berbuka puasa bersama asnaf dan gelandangan serta ceramah khas Ramadan oleh penceramah jemputan,” katanya. – BH ONLINE




