Pilihan EditorTurun Naik

Permintaan Pekerjaan e-Hailing Melonjak Tinggi Apabila Ramai Kehilangan Pekerjaan Ekoran Pelaksanaan PKP

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

 

Bilangan pekerja dalam sektor ekonomi gig meningkat tahun ini terutamanya dalam perkhidmatan e-hailing dan penghantaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Cabaran ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini yang disebabkan oleh pandemik itu juga menyaksikan permintaan terhadap pekerjaan e-hailing melonjak tinggi apabila ramai yang kehilangan pekerjaan ekoran pelaksanaan PKP.

 

Pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sokongan berterusan daripada kerajaan membantu sektor gig yang terjejas akibat COVID-19 menongkah arus kegawatan ekonomi semasa dan bertahan daripada kesan pandemik itu.

Perangkaan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing dan penghantaran dijangka lebih tinggi tahun ini apabila sektor perkhidmatan gig menawarkan peluang kepada lebih ramai pekerja yang diberhentikan kerja dan mereka yang gajinya dipotong.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, tahun lepas seramai 466,600 pekerja terlibat dalam sektor gig berbanding 559,900 pada 2018.

E-hailing pulih semula, perkhidmatan penghantaran makanan terus bertahan

Sektor e-hailing mencatatkan penguncupan hasil sebanyak 16 peratus dan 68.8 peratus masing-masing pada suku pertama dan suku kedua berikutan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara bermula 18 Mac hingga 9 Jun.

Bagaimanapun sektor tersebut bangkit kembali dengan mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 237.8 peratus pada suku ketiga apabila aktiviti ekonomi dibuka semula bermula 10 Jun.

Sementara itu, jumlah syarikat e-hailing yang beroperasi di negara ini turun 25 peratus kepada 33 lesen pada November 2020, daripada 44 lesen yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas.

Grab, yang memiliki kira-kira 100,000 rakan pemandu, menerajui rangkaian tersebut di Malaysia diikuti MyCar (10,000 rakan-pemandu).

 

Sementara itu, perkhidmatan penghantaran mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 7.3 peratus dan 14.5 peratus masing-masing pada suku pertama dan suku kedua, apabila permintaan melonjak disebabkan pergerakan terhad semasa PKP dan PKPB.

Perkhidmatan penghantaran makanan merekodkan pertumbuhan hasil yang sederhana sebanyak 1.9 peratus pada suku ketiga berikutan pembukaan semula restoran dan kebenaran untuk makan di premis kedai.

Inisiatif untuk tingkatkan ekonomi gig

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun memperuntukkan RM75 juta untuk menggalakkan ekonomi gig dan menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi pekerja dalam sektor ekonomi tidak formal.

Daripada jumlah ini, RM50 juta dalam bentuk geran padanan diperuntukkan kepada platform ekonomi gig yang mencarum bagi pekerja gig mereka kepada skim bencana kecederaan pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Sementara itu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan diperuntukan dengan baki RM25 juta bagi program Tenaga Kerja Dalam Talian Global untuk menggalakkan pekerjaan sendiri secara bebas.

Menurut MDEC, 28,425 pekerja ekonomi gig telah mendaftar dengan Perkeso sejak 1 Jan, mewakili tujuh peratus daripada 400,000 pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig.

Kerajaan juga mengumumkan tambahan RM5.3 bilion bagi lanjutan Program Subsidi Upah. Program ini merangkumi subsidi upah, program meningkatkan kemahiran sedia ada dan mempelajari kemahiran lain, bantuan pengambilan pekerja dan latihan serta perlindungan sosial ekonomi gig.

Cabaran

Jabatan Perangkaan berpandangan bahawa pekerja gig akan terus berdepan cabaran apabila gaji atau pendapatan keuntungan mereka bergantung kepada permintaan dan pelanggan, pekerjaan atau projek, terutamanya semasa pandemik ini meskipun ia menjadi satu daripada alternatif yang semakin popular untuk menjana pendapatan.

Selain itu, kebanyakan pekerja gig tidak mempunyai kontrak pekerjaan standard yang akan memberi kesan kepada kebajikan dan rangkaian perlindungan sosial mereka.

“Dari sudut pendapatan, susulan permintaan yang meningkat dalam aktiviti digital mungkin memberi faedah melalui pendapatan yang meningkat pada ketika krisis.

Namun, terdapat juga sebahagian lagi dalam golongan ini yang terjejas pendapatannya. Menyedari keadaan ini, kerajaan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu meminimumkan kesan serta risiko krisis ekonomi akibat COVID-19 terhadap golongan ini,” kata Jabatan Perangkaan menerusi e-mel kepada Bernama.

Sehubungan itu jabatan tersebut percaya bagi pembangunan petunjuk pekerja gig yang lebih komprehensif, perlu untuk melihat kepada sumber yang lebih meluas selain daripada menggunakan data kaji selidik, antara lainnya, menerusi maklumat rekod pentadbiran daripada pelbagai agensi secara langsung atau tidak langsung yang terlibat dalam ekonomi gig.

Ekonomi gig di Malaysia merangkumi sektor perkhidmatan (pengangkutan, makanan dan minuman, penginapan, borong dan perdagangan runcit, seni dan hiburan, profesional dan maklumat dan komunikasi) sektor pembuatan (mengeluarkan produk makanan dan pakaian dan pencetakan), sektor pembinaan (pembinaan bangunan dan pertukangan khas) dan sektor pertanian. — BERNAMA

 

  • Penulis ialah wartawan BERNAMA.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close