GovernansMalaysiaPilihan Editor

Dasar Pendidikan Digital Perkasa Ekonomi Digital – Perdana Menteri

 

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital, selaras usaha memperkasa ekonomi digital.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dasar itu langkah ke hadapan untuk menyediakan generasi fasih digital.

Dalam masa yang sama, katanya, dasar itu dapat melonjakkan kualiti pendidikan negara dan menjadi antara yang terbaik di dunia.

“Dasar ini mempunyai tiga tujuan utama, iaitu menyediakan generasi fasih digital, meningkatkan kompetensi dan pembangunan profesional pihak berkepentingan, berkaitan kepimpinan dan pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan.

“Dan, ketiga merapatkan jurang digital,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, usaha mewujudkan generasi fasih digital bagi menyediakan kelompok yang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital serta berupaya menghasilkan inovasi menggunakan teknologi digital.

Katanya, dalam masa yang sama, kerajaan mahu melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni.

 

Kerajaan mahu melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni. Gambar TADIKA Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Kerajaan mahu melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni. Gambar TADIKA Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. – Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi digital.

Katanya, menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari lalu.

“Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan laporan World Digital Competitiveness Ranking 2020 dikeluarkan Institut Pengurusan Pembangunan Antarabangsa (IMD), Malaysia berada pada kedudukan ke-26 daripada 63 negara dengan skor 82.39 peratus.

Katanya, dari aspek kreativiti dan inovasi pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam senarai World Bank’s Doing Business 2020.

“Inisiatif MyDigital yang berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion seterusnya meningkatkan daya saing negara serta menjadi pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh, bagi memenuhi keperluan baharu rakyat.

“Pelan tindakan ini yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA), akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Pelaksanaan JENDELA diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan meluluskan sebanyak 128 projek teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan pendigitalan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM538.7 juta.

“Projek yang diluluskan itu meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaik taraf kelengkapan ICT di institut latihan,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close