Pilihan EditorTurun Naik

Tubuh Pelantar Pelaporan Pastikan Pelaksanaan Bajet 2023 Telus – Penganalisis

Oleh Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali 

Bajet 2023 sudah selesai dibentangkan Jumaat lalu.

Tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan seluruh anggota penjawat awam terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan belanjawan ini.

Bajet 2023 meneruskan pendekatan bajet mengembang dengan rekod baharu peruntukan, RM372.3 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

Kita pasti semua pengiraan kesan dan keupayaan fiskal sudah diambil kira.

Setidak-tidaknya disiplin dalam berbelanja dana awam kini semakin baik dan tidak sewenang-wenangnya, dengan adanya Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2023-25 yang menjadi kayu ukur disiplin dalam pengurusan fiskal. Usaha konsolidasi fiskal perlukan komitmen tinggi dan akauntabiliti jelas.

Sasaran purata defisit fiskal dalam jangka sederhana, iaitu 2023 hingga 2025 ialah 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dengan jangkaan defisit fiskal 2023 ialah 5.5 peratus, purata bagi 2024 dan 2025 mestilah tidak melebihi 3.85 peratus KDNK. Ertinya, untuk 2024 dan 2025, sempadan fiskal jauh lebih ketat, juga tertakluk kepada sasaran KDNK.
Semua mesti ingat, berbelanja besar hari ini, mengehadkan belanja pada masa akan datang. Dengan pembentangan (dan kelulusan) Akta Tanggungjawab Fiskal pada penghujung tahun ini, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal pasti lebih mantap. Sangat baik. Tahniah.

Birokrasi penghalang laksana inisiatif awam

Ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi penutupan premis perniagaan (non-essential), berhadapan kecelaruan agensi kawal selia berbeza.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kerja Raya setiap satu menjadi agensi kawal selia untuk sektor ekonomi berbeza.

Ada yang lewat menerima bantuan khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) susulan kelewatan pengesahan, syarat dan keperluan dokumentasi menyulitkan. Kebenaran untuk warga asing masuk ke dalam negara juga celaru buat seketika susulan kelewatan penyelarasan antara MITI-Kementerian Kesihatan-Kementerian Dalam Negeri.

Insentif penggajian oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk majikan yang menggajikan belia (18 hingga 30 tahun) yang menganggur lebih tiga bulan dalam Bajet 2023 pasti memerlukan pengesahan pendaftaran perniagaan majikan serta pengangguran belia minimum tiga bulan dan juga kemungkinan memerlukan syarat majikan sebagai pencarum PERKESO.

Pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semuanya perlu melalui proses tender rumit serta mengambil masa.

Sebahagian besar inisiatif dalam Bajet 2023 adalah bergantung kepada penyelarasan antara agensi.

Penjenamaan semula Kuala Lumpur menjadikannya sebagai hab kreatif dan budaya oleh ThinkCity, pastinya memerlukan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kemungkinan juga Kementerian Belia dan Sukan bagi mengenal pasti belia yang layak. Pembangunan infra dan premis berkaitan memerlukan pelbagai pihak, termasuk telekomunikasi, elektrik dan bomba tampil bersama.

Tuntut komitmen kementerian, agensi

Matlamat menjadikan Malaysia 10 teratas dunia negara berdaya saing menjelang 2025 adalah sasaran yang saya anggap sangat mencabar, amat memerlukan komitmen pelbagai kementerian dan agensi bertindak bersama.

Terkini, Malaysia berada di tangga ke-32, iaitu jatuh tujuh anak tangga dalam World Competitiveness Ranking 2022 (IMD). Bolehkah matlamat ini dicapai dua tahun dari sekarang, iaitu 2025? Pasti perlu usaha gigih.

Bagi memastikan semua inisiatif disenaraikan dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan mengikut jadual, Kementerian Kewangan sebaiknya mewujudkan satu pelantar (dashboard) bagi melaporkan prestasi pelaksanaan Bajet 2023. Pelantar ini sebaiknya boleh dicapai dan dinilai semua pihak, termasuk masyarakat awam.

Pengalaman kementerian mewujudkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi memastikan semua keputusan dilaksanakan dengan berkesan mengikut jadual ketika kita menangani krisis ekonomi COVID-19 sewajarnya diteruskan untuk Bajet 2023.

Laporan Bajet 2023 dikeluarkan seperti Laporan LAKSANA secara berkala. Dengan cara ini, bukan sahaja akauntabiliti kerajaan dipertingkatkan, malah ia juga membantu kita segera menangani masalah pelaksanaan yang mungkin timbul dengan tindakan proaktif.

Bagi mengukuhkan lagi akauntabiliti pelaksanaan Bajet 2023, Majlis Pemantau Pelaksanaan Bajet perlu diwujudkan dengan keahlian ahli berwibawa daripada sektor awam dan swasta.

Keupayaan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif dibentangkan dalam Bajet 2023 pastinya satu manifestasi responsif, bertanggungjawab dan reformis (3R) yang menjadi teras utama Bajet 2023. Bangunkan Pelantar Bajet 2023 dan tubuhkan Majlis Pemantau Pelaksanaan Bajet. Semoga Malaysia terus berjaya. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close