Pilihan EditorTwo Cents

Muafakat Nasional Adalah Muafakat Untuk Semua

Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

TANGGAL 14 September 2019 bersamaan 14 Muharram 1441 akan diingati oleh rakyat Malaysia amnya dan umat islam khasnya kerana inilah tarikh keramat yang menjadi bukti penyatuan ummah antara dua keluarga besar umat Islam iaitu UMNO dan PAS melalui sebuah gagasan yang diberi nama “Muafakat Nasional (MN)”.

Saya masih ingat detik ini, kerana jutaan menyaksikan siaran langsung melalui saluran media sosial dan saya sendiri bersama puluhan ribu umat Islam menyaksikan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Nyanyian lagu UMNO dan PAS oleh ribuan hadirin pada tarikh keramat tersebut menyemarakkan lagi semangat ukhuwah dan hubungan silaturrahim di antara kedua parti besar ini.

ALHAMDULILLAH, inilah hikmah di sebalik kekalahan pada PRU 14 yang lalu kerana Allah SWT satukan hati umat ini atas nama Muafakat Nasional.

Disebalik MN dialu-alukan oleh umat Islam terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera, timbul pula persoalan dalam kalangan rakyat negara ini yang bukan beragama Islam.

Ditambah dengan provokasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggelar MN ini akan menjadikan negara Taliban dan menindas kaum-kaum lain.

Maka tidak hairanlah, jika ada  dalam kalangan orang bukan islam dan bukan bumiputera yang masih merasa sangsi dan takut dengan MN ini.

Hanya kerana mereka termakan dengan dakyah dan provokasi oleh pihak yang berniat jahat dan cemburu terhadap hubungan di antara dua keluarga besar di dalam negara ini iatu UMNO dan PAS.

Jika kita menelusuri satu persatu Piagam MN yang ditandatangani oleh kedua Ketua Keluarga UMNO dan PAS, ianya jelas menunjukkan MN tidak sama sekali meminggirkan kaum-kaum lain dan jauh sama sekali berniat untuk menzalimi mereka.

Kandungan piagam tersebut dengan terang menzahirkan niat sebenar hubungan di antara kedua parti besar ini sebagaimana yang dimaktubkan di dalam Piagam Muafakat Nasional iaitu:-

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

  • Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera SERTA KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta MENJAMIN KEPENTINGAN MASYARAKAT MAJMUK TERPELIHARA.

 

  • Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan PELBAGAI LATAR AGAMA, KAUM dan BUDAYA demi kepentingan negara.

 

  • Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan WATAN YANG SEJAHTERA.

 

  • Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) TANPA MENAFIKAN KEPELBAGAIAN AGAMA, KAUM dan BUDAYA sebagai paksi kepada kestabilan politik, KEHARMONIAN KAUM dan kesejahteraan negara.

 

  • Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial MERENTASI BATAS WARNA KULIT dan ANUTAN.

 

Jika apa yang tertulis di dalam Piagam di atas tidak memadai, lihatlah pula penglibatan UMNO dan PAS dalam kancah politik negara sebelum PRU 14.

Seluruh rakyat, baik yang beragama Islam atau bukan Islam, hidup harmoni dan aman sentosa walaupun ketika itu UMNO dan PAS dalam wadah yang berbeza.

Baik di peringkat persekutuan dan negeri-negeri yang ditadbir oleh UMNO dan BN, mahupun di negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS ketika itu, tiada seorangpun anak watan yang bukan beragama Islam dan bukan berbangsa Melayu yang dizalimi oleh kerajaan ketika itu.

Maka buat sahabat-sahabatku, baik kalian beragama Kristian, Buddha, Hindu atau berbangsa Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain, Muakafat Nasional adalah Muafakat untuk anda dan Muafakat untuk semua.

Alangkah ruginya jika MN digagalkan pelaksanaannya, biarpun dinamika politik menyaksikan PN telah membentuk kerajaan.

UMNO dan PAS tentunya bersama komponan BN wajib meneruskan roh kesepakatan MN sehingga PRU15, malah membentuk kerajaan atas nama MN bersama GPS dan parti-parti politik dari Sabah.

Dinamika politik baharu inilah yang dinantikan oleh rakyat.

Janganlah hendaknya salah satu anggota parti dalam MN merasa kegelian kuasa bila membentuk kerajaan PN, malah mencari kawan baharu yang belum diuji keikhlasannya sebagai rakan kongsi pilitik.

Semoga Allah SWT meredhai dan memberkati talian silaturrahim ini. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang peguam muda kampung dan pemerhati politik tanah air.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close