MalaysiaPilihan EditorTurun Naik

Yang Mana Dulu, Belanjawan 2023 Atau Pengumuman Bubar Parlimen ?

Manifesto Parti Politik PRU-15 Dilihat Cerminan Belanjawan 2023

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

Oktober bulan tumpuan. Semua rakyat Malaysia sudah tentu ternanti-nanti pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia dijangka 7 Oktober depan.

Sudah tentu rakyat menantikan sentuhan luar biasa lagi keberanian di bawah Kerajaan Keluarga Malaysia bagi memulihkan kesejahteraan ekonomi rakyat dan pembangunan negara menerusi belanjawan kali ini.

Namun pada tika yang sama, rakyat Malaysia juga tertanya-tanya adakah pembentangan Belanjawan 2023 itu sekadar kosmetik semata-mata selepas terlalu banyak perkhabaran angin mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas itu ?

Andainya tidak berlaku seperti yang diuar-uarkan itu, rakyat Keluarga Malaysia sekarang sangat menuntut soal kesejahteraan dan kebajikan mereka untuk terus terbela berlandaskan keperluan rakyat bagi kerajaan yang masih mempunyai sokongan di peringkat Pusat apatah lagi mandat Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) akan tamat pada Mei tahun depan.

Maka atas faktor itu, Belanjawan 2023 dilihat sangat relevan dan rasional untuk dibentangkan di bawah kerajaan Keluarga Malaysia. Belanjawan sangat penting kerana ia menentukan pembangunan dan masa depan negara.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, belanjawan boleh mengimbangi keadaan ekonomi sesebuah negara sama ada dalam keadaan ekonomi negara meleset atau meningkat.

Dalam keadaan ekonomi negara yang lembab, belanjawan kurangan ‘budget deficit’ sering dijadikan cara untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Belanjawan kurangan akan mendorongkan kepada aliran wang melalui lebihan perbelanjaan awam.

Lebihan perbelanjaan ini akan menggalakkan perbelanjaan dan seterusnya meningkatkan aktiviti pembangunan.

Sebaliknya, dalam keadaan ekonomi meningkat, dasar belanjawan lebihan budget surplus’ sering dijadikan cara untuk mengimbangi ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan yang lebih ketat.

Lazimnya sesebuah negara akan lebih cenderung untuk mengamalkan dasar belanjawan berimbang ‘balance budget’ untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara. Melalui belanjawan pembangunan negara dapat ditingkatkan melalui sokongan dasar fiskal dan dasar kewangan .

Soalnya sekarang, rakyat tidak mahu untung nasib mana-mana parti politik cuba mempermainkan sentimen pemikiran rakyat, ekonomi dan pembangunan negara sama ada keperluan untuk bubar segera atau sebaliknya sehingga menjejaskan rentak perencanaan pembentangan Belanjawan 2023.

Rakyat juga mula terikir-fikir adakah mana-mana parti politik yang akan menuntut idea atau buah fikiran yang digarap datangnya dari mereka dalam Belanjawan 2023 itu kelak terutama situasi kerajaan campuran (hibrid) sedia ada yang mempunyai komposisi blok parti kepelbagaian.

Malahan sebahagian rakyat juga semakin berfikir kuat betapa seelok-eloknya manifesto parti politik yang diwacanakan kepada rakyat mengenai kepercayaan, aku-janji, dasar dan apa yang ingin ditawarkan oleh parti politik khusus dalam Plilihan Raya Umum Ke-15 (dikatakan bila-bila masa sahaja) ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pembentangan belanjawan yang akan datang.

Rakyat tidak mahu parti politik sama ada yang memerintah dan blok pembangkang membuang masa, wang dan tenaga demi kelangsungan politik masing-masing.

Sebenarnya rakyat mempunyai kuasa memenangkan parti politik atau mempunyai kuasa menghukum parti politik yang memualkan.

Rakyat sekarang berpandangan perlu ada agenda skala-mega yang realistik dan wajar. Sebab itu, rakyat turut berpandangan manifesto pilihan raya bagi parti politik sebagai cerminan dokumen Belanjawan 2023.

Manifesto dilihat sebagai wadah kesampaian parti politik dengan rakyat terutama bakal pengundi yang akan menentukan dan mengabsahkan manifesto terbaik demi kesejahteraan rakyat, ekonomi dan pembangunan negara.

Rakyat yang sebenarnya mempunyai kuasa politik yang realistik. Rakyat tahu apa yang dikehendaki tetapi menerusi parti politik yang bijak, cakna dan mampu menterjemahkan keperluan rakyat menerusi manifesto politik pilihan raya masing-masing mempunyai peluang yang sangat baik.

Paling penting ialah undi rakyat yang menyedari manifesto parti politik yang akan membantu memperkasakan kebajikan, meningkatkan manfaat dan membawa keuntungan serta mencorakkan hala tuju negara menerusi pembaharuan berani, realistik dan integriti.

Rakyat tidak akan terperangkap dengan dakyah-dakyah menjanjikan bintang dan bulan yang melangit lagi.

Rakyat sudah melalui “zaman berjanji” yang akhirnya punah, lesu dan sekadar “kitab” kosong yang dipersembahkan dan diomong-omong di atas pentas politik sahaja.

Rakyat sekarang berkehendakkan Belanjawan 2023 yang boleh diterjemahkan demi pemulihan sosio-ekonomi rakyat seperti pekerjaan, harga petrol, bantuan pendapatan, dasar persaingan malahan soal kemiskinan, pembangunan luar bandar dan wilayah serta utiliti, pertanian dan Felda masih menjadi agenda penting untuk ditangani secara bijak, berhemah dan realistik.

Di samping itu, rakyat juga berkehendakkan tawaran manifesto parti politik dalam PRU-15 hendaklah mencakupi aspek kualiti hidup yang lebih mapan termasuk soal pendidikan, pengangkutan awam, biasiswa, universiti serta fokus utama yang terarah kepada kualiti penyampaian awam dan swasta serta kesaksamaan dan perpaduan sosial.

Sangat penting tawaran manifesto parti politik dalam PRU15 kelak kerana ia kuasa yang diingini menerusi strategi politik yang boleh digunakan sebaik mungkin. Strategi politik paling berkesan adalah dengan mendapatkan sumber ekonomi yang berkait rapat dengan psikologi rakyat.

Dalam hal ini, rakyat bukan sebarang rakyat kerana rakyat sekarang sangat bijak, realistik dan bijak menguruskan perbandingan urus-tadbir ekonomi yang memihak kepada mereka.

Soalnya sekarang ialah “Belanjawan 2023” didahulukan atau adanya pengumuman pembubaran bagi membolehkan warkah “Manifesto Parti Politik untuk PRU-15” didahulukan jua ?

Mana yang perlu diutamakan ? – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat, Dewan Negara dan bekas Pegawai Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam institusi Parlimen.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close