Governans

DEWAN RAKYAT: RUU Peruntukan Semula Peruntukan Lulus Dengan Belah Bahagi

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 secara undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu itu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir.

Seramai 106 Ahli Parlimen tidak menyokong manakala lima Ahli Parlimen tidak hadir seperti diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sebelum RUU itu diluluskan, keadaan dewan sedikit kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan tindakan Azhar menangguhkan dewan ketika sesi undian belah bahagi masih belum diselesaikan.

Terdahulu, Azhar menangguhkan sidang selama 10 minit.

Selepas 10 minit dewan ditangguhkan, Azhar masuk semula bagi mempengerusikan mesyuarat dan meminta undian belah bahagi dimulakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, ketika menggulung RUU berkenaan berkata, ia dibentangkan bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan selain memastikan pertindihan fungsi antara kementerian dapat diminimumkan.

Katanya, kewujudan kementerian baru seperti Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Alam Sekitar dan Air serta pengwujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah bertujuan memperkemaskan jentera perkhidmatan kerajaan.

“Kementerian Perpaduan Negara sebenarnya bukan kementerian baharu. Ia pernah diwujudkan pada 1972 dan pada 1980, ia sudah distrukturkan sebagai Jabatan Perpaduan dan Rukun Tetangga dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berperanan dalam meneraju pengurusan air secara mampan dan kelestarian alam sekitar serta memulihara alam sekitar. Begitu juga KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah beberapa kali digabung dan dipisahkan.

“Kerajaan berpandangan KPT dan KPM perlu menjadi entiti berasingan dalam memperkasa pendidikan negara,” katanya sambil menambah ini bagi membolehkan dasar digubal lebih fokus dan terancang serta memudahkan aspek pemantauan untuk kumpulan sasar.

Permohonan peruntukan itu adalah berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM310,621,700, Perbendaharaan (RM17,253,000) dan Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM2,405,900).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Perpaduan Negara (RM240,452,000), Kementerian Luar Bandar (RM189,165,000), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (RM102,603,900) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10,000,000).

Selain itu ia turut membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM12, 410,600), Kementerian Alam Sekitar dan Air (RM305, 993,000), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM70, 366,000) dan Kementerian Pengajian Tinggi (RM5, 922,811,700). – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close