Amerika Syarikat (AS) dijangka turut menanggung kos tambahan akibat pelaksanaan tarif import terutamanya membabitkan produk tertentu seperti minyak sawit.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pengimport dari AS perlu menanggung kos tambahan bagi produk yang tiada di negara itu yang seterusnya akan memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di sana.
Beliau berkata, hal ini kerana negara itu tidak mempunyai alternatif bagi produk tertentu seperti minyak sawit dan tetap perlu mengimport dari negara luar.
“Kalau ditanya kepada saya tentang minyak sawit, sebenarnya tiada alternatif lain di AS. Kacang soya tidak boleh ditukar menjadi oleokimia seperti produk kita.
Johari turut menyatakan, perkara sama juga akan berlaku kepada produk komoditi lain seperti sarung tangan getah. Beliau berkata, walaupun China dan Vietnam turut mengeluarkan produk yang sama, tetapi tarif yang dikenakan AS ke atas negara itu lebih tinggi daripada Malaysia.
Katanya, perkara sama turut dialami sektor perabot yang turut mempunyai persaingan dengan negara lain.
“Kalau kita bagus dari segi reka bentuk dan hasilkan sesuatu yang unik, orang tetap akan membeli. Kalau negara seperti AS mengenakan tarif 10 peratus ditambah 25 peratus, maka (AS) bayarlah 25 peratus itu. Harga tetap akan dibayar sekiranya produk kita ada nilai.
“Dalam dunia ini, kita ada kira-kira 190 buah negara. Takkan hanya kerana satu negara seperti AS, kita terus tak boleh berniaga dan jalankan ekonomi. Tidak begitu. Kita perlu menyesuaikan diri dan bersikap tangkas dalam hal ini,” katanya. – BH ONLINE




