Dimensi BisnesPilihan Editor

Empat OKU Tersenarai Carta Top Ten Runner Grab Food Terengganu

Sering kali kita mendengar penghantar makanan dibarisi golongan sempurna dan sihat, maka sesuatu yang luar biasa jika penghantar makanan (runner) itu adalah Orang Kurang Upaya (OKU)

Ini terbukti apabila empat OKU tersenarai antara 10 penghantar makanan terbaik Grab Food di Kuala Terengganu mengatasi runner yang sempurna segala sifatnya.

Salah seorang daripada 10 penghantar makanan OKU yang ditemui,  Mohammad Asyraf Anuar, 24, berkata, baginya kudrat yang ada tidak akan dipersia-siakan.

Katanya yang juga bertindak sebagai penterjemah bahasa isyarat bagi rakan-rakan, selagi mampu mereka akan berusaha tanpa mengharap bantuan dan tugas dijalankan penuh keikhlasan.

“Saya pernah rasa kecewa apabila permohonan ditolak oleh satu syarikat penghantar makanan hanya kerana bergelar insan istimewa.

“Setelah mendapat tawaran daripada Syarikat Penghantar Perkhidmatan Makanan (Grab Food), saya turut mempelawa rakan-rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (Pendidikan Khas) yang senasib untuk bersama-sama dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, kami semua berjaya menjana pendapatan hampir RM3,000 sebulan tanpa membebankan orang lain,”  ujarnya yang mempunyai masalah pendengaran.

Sementara itu, bagi Ahmad Aiman Yaakob 22, dari Bukit Kecil berkata dia memilih kerjaya sebagai penghantar makanan kerana mampu menjana pendapatan lumayan dan pembahagian masa yang lebih terurus.

Menurutnya yang tiada deria pendengaran (pekak) dan bisu, itu juga bukan alasan untuk tidak mara ke hadapan dan meratapi nasib diri.

“Saya pernah menunggang motosikal meredah hujan lebat demi tugasan dan  ada juga pelanggan yang membatalkan tempahan saat akhir,” ujarnya yang mempunyai Sijil Mekanikal Politeknik Shah Alam.

Ditanya apakah cabaran sebagai seorang rider? Aiman memberitahu tidak banyak kesukaran yang dihadapinya. Komunikasi antaranya dengan pembekal makanan dan pelanggan adalah menerusi aplikasi mesej.

Lain pula bagi Ahmad Muhaimin Yatim, 29, dari Rusila, memilih kerjaya itu untuk mengumpul duit bagi melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya pada Julai ini.

“Rasa bersyukur tunang dan keluarganya memahami apa yang saya sedang lakukan sekarang dengan hanya satu pesanan iaitu sentiasa menjaga keselamatan diri.

“Insha Allah, saya akan kerja sebaik mungkin untuk masa depan yang akan kami bina nanti,”katanya. – TRDI.MY/PIC TRDI.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close